ECRL: Sedia statistik sebelum projek dilaksanakan

ECRL: Sedia statistik sebelum projek dilaksanakan

Statistik Pembiayaan berkaitan projek semasa di Malaysia, termasuk Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan kepada orang ramai, mestilah berdasarkan fakta, dan tidak menyembunyikan butirannya, kata Pengerusi Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB), Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid.

Dari sudut pengawal seliaan, integriti sangat penting, termasuk angka, katanya kepada pemberita pada Persidangan Etika Perniagaan 2018 hari ini.

Mohd Munir berkata ada dakwaan oleh Anggota Parlimen bahawa kos projek ECRL dinaikkan bagi memperoleh dana pendahuluan untuk membayar hutang Malaysia.

“Sekiranya perkara sedemikian berlaku, ini jelas salah,” katanya.

Ahli Majlis Penasehat Kerajaan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini melaporkan bahawa kos sebenar ECRL itu tidak boleh melebihi RM55 bilion.

Beliau berkata angka yang umumkan oleh pentadbiran terdahulu hanyalah ‘untuk fasa pertama projek’.

Daim berkata berkemungkinan akan ada fasa kedua ECRL, yang menelan kos RM11 bilion, dan jika kadar faedah diambil kira, angkanya akan menjadi lebih tinggi.

Sementara itu, Menteri Kewangan yang baru dilantik, Lim Guan Eng berkata kerajaan ‘membayar´ obligasi hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak April 2017, dan pembayaran bagi pihak dana negara itu berjumlah RM6.98 bilion.

Beliau juga mengesahkan bahawa hutang Malaysia melebihi RM1 trilion, dengan faktor penyumbang termasuk hutang 1MDB dan projek mega yang diluluskan oleh kerajaan sebelumnya.