Syariat T7 Global Bhd menyambut baik rundingan semula harga projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dlaksanakan oleh kerajaan baharu.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan berkata langkah itu akan menyumbang kepada harga yang lebih kompetitif dan membolehkan syarikat sekurang-kurangnya mengetahui kos sebenar projek berkenaan.
“Namun bagi kami, kosnya kekal sama disebabkan selagi kami menjalankan kerja dan memperoleh bayaran, dan memperoleh keuntungan, kami akan teruskannya,” katanya.
Nik Norzrul Thani bercakap pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Pada Mac lepas, T7 Global menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu dengan syarikat milik kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan CMC Engineering Sdn Bhd, bagi membentuk konsortium untuk melaksana pembinaan bahagiannya dalam projek ECRL.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Tan Kean Soon memberi jaminan bahawa MoU itu tidak berubah walaupun berlaku perubahan kepimpinan kerajaan Terengganu.
“EPIC masih milik kerajaan negeri walaupun kepimpinan berubah,” katanya.
Nik Norzrul Thani mengulangi bahawa mereka gembira terhadap semakan semula harga ECRL dengan berkata ini akan memberikan peluang yang baik bagi syarikat kukuh dan kompetitif.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan meneruskan ECRL jika ka memperoleh terma yang lebih baik menerusi rundingan semula itu dan jika kos projek dikurangkan.
Ditanya sama ada syarikat itu akan menjalin usaha sama dengan projek pembinaan Berjaya Group, milik jutawan Tan Sri Vincent Tan, memandangkan beliau kini merupakan antara pemegang saham utama T7 Global, beliau berkata: “Kami tidak mengetepikan usaha sama dengan sesiapa, dan memandangkan Vincent Tan kini merupakan pemegang saham, kami akan merebut peluang untuk menjalin kerjasama yang selari dengan beliau.”
Vincent Tan menguasai 22.2 juta saham atau 5.29 peratus kepentingan dalam T7 Global.
Sementara itu, Nik Norzrul Thani berkata T7 Global, sebagai penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G), akan terus memberi tumpuan kepada segmen O&G dan beransur-ansur berkembang dalam sektor pembinaan infrastruktur.
“Pada masa ini, segmen O&G menyumbangkan lebih daripada 90 peratus hasil kami, selebihnya daripada pembinaan dan segmen lain,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu tidak terhad kepada aktiviti dalam kontrak kerajaan, malah turut terlibat dalam tender sektor swasta.
Pada Mei lepas, T7 Global merancang mempelbagaikan perniagaannya ke dalam industri aeroangkasa sebagai sebahagian daripada strategi untuk meningkatkan aliran pendapatannya, sambil mengurangkan pergantungan pada sektor O&G.
Pengarah Eksekutifnta Tan Kay Vin berkata syarikat itu sebelum ini terlibat dalam pembinaan Mass Rapid Transit 2 dan beberapa pakej kecil projek itu.
“Kami sudah mempunyai pengalaman dalam pembinaan infrastruktur,” katanya seperti dilapor Bernama.