ECRL tarik pelancong, rangsang pasaran runcit tempatan, kata MRCA

ECRL tarik pelancong, rangsang pasaran runcit tempatan, kata MRCA

Jumlah pelancong dari China dijangka meningkat dengan sentimen dipacu oleh pelaksanaan semula projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL).

Presiden Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua, berkata lazimnya sentimen pelancong China adalah sejajar dengan sentimen kerajaan yang mana pelaksanaan semula ERL yang membabitkan kerjasama dengan China pastinya akan menarik lebih banyak pelancong dari negara berkenaan datang ke Malaysia, sekali gus akan merangsang pasaran runcit tempatan.

Datuk Garry Chua

“Kemasukan pelancong akan merangsang ekonomi negara,” katanya ketika ditemui di Forum Industri Runcit 2019 dipetik bhonline, hari ini..

Forum itu dianjurkan pertama kali oleh International Women’s Federation of Commerce and Industry Malaysia (IWFCIM).

Hadir sama, Presiden IWFCIM, Datuk Elaine Teh.

Pada tahun lalu, sebanyak 25.83 juta pelancong datang ke Malaysia, susut 0.4 peratus berbanding 25.9 juta tahun sebelumnya.

Walaupun mencatatkan pengurangan jumlah pelancong, jumlah perbelanjaan pelancong meningkat 2.4 peratus kepada RM84.1 bilion pada tahun lalu, berbanding 2017 iaitu RM82.2 bilion.

Penyumbang terbesar perbelanjaan pelancong ialah pasaran jarak dekat ASEAN, iaitu sebanyak M48.5 bilion, namun berlaku pengurangan 12.8 peratus, berbanding RM55.6 bilion pada 2017.

Sumbangan dari pasaran bukan ASEAN secara kumulatif sebanyak RM35.6 bilion seperti dari Asia Timur (RM18.4 bilion); Eropah (RM5.6 bilion); Asia Selatan (RM3.8 bilion); Asia Barat (RM3.1 bilion); Amerika (RM1.8 bilion); Australia (RM1.6 bilion); New Zealand (RM224.7 juta); Asia Tengah (RM135.7 juta) dan Afrika Selatan (RM93.7 juta).

Sementara itu, Chua berkata, industri runcit tempatan dijangka mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus tahun ini, lebih baik berbanding 3.9 peratus pada tahun lalu.

Katanya, pertumbuhan itu sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka berkembang 4.3-4.8 peratus tahun ini.