Edar Bible: Islam agama rasmi Persekutuan perlu dihormati, kata Mufti P.Pinang

Edar Bible: Islam agama rasmi Persekutuan perlu dihormati, kata Mufti P.Pinang

Islam sebagai agama rasmi Persekutuan mesti dihormati, kata Mufti Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menurut beliau lagi, dakwaan mengenai usaha mengedarkan ‘Bible’ kepada pelajar-pelajar beragama Islam di sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam baru-baru ini telah mencetuskan kritikan pelbagai pihak terutamanya NGO Melayu-Muslim.

Tegasnya, samada dakwaan tersebut sahih atau sebaliknya, ia terserah kepada siasatan pihak polis bagi menentukannya.

Walau bagaimana pun ujarnya, tindakan menyebarkan agama lain kepada penganut Islam dalam negara ini merupakan satu kesalahan mengikut perlembagaan negara.

“Pelakunya boleh didakwa di mahkamah serta dihukum menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perlembagaan Negara melarang mana-mana agama selain Islam disebarkan kepada masyarakat Islam di negara ini, tetapi membenarkan Islam disebarkan kepada bukan Islam.

“Ini merupakan satu keistimewaan bagi Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan, ” tambah beliau lagi.

Namun begitu katanya, adalah dikesali apabila umat Islam tidak mengambil peluang ini untuk menyampaikan maklumat mengenai Islam kepada rakan-rakan atau kenalan-kenalan bukan Islam.

“Sehubungan itu maka majoriti masyarakat bukan Islam terus menerus jahil atau tidak memahami sifat agama Islam sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam.

“Kemungkinan kecuaian ini berpunca daripada salah faham umat Islam sendiri terhadap konsep sesitiviti agama, sedangkah maksud sebenar ialah kita dilarang memburukkan agama seseorang dengan mencercanya, memaki hamun, menghina dan sebagainya.

“Ia juga tidak bererti umat Islam dilarang menyampaikan maklumat atau menjelaskan ajaran Islam kepada masyaraka bukan Islam, ” katanya lagi.

Justeru itu katanya, tidak mahu menyampaikan Islam kepada orang lain menunjukkan sikap keakuan umat Islam sendiri, seolah-olah mereka hanya ingin menyelamatkan diri sendiri sahaja daripada siksaan neraka Allah s.w.t.

Malah tegasnya, sikap sedemikian adalah salah kerana Islam mewajibkan umatnya menyampaikan misinya kepada seluruh manusia.

“Kita menyeru umat Islam dalam negara ini supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan menyampaikan maklumat yang tepat tentang agama Islam kepada masyarakat bukan Islam.

“Sebaliknya mereka tidak harus memberi reaksi berlebih-lebihan apabila mendapati ada individu atau pihak lain cuba menyebarkan agama mereka secara aktif kepada orang lain.

“Perlembagaan negara mengizinkan mereka berbuat demikian disamping merupakan kewajipan yang dibebankan oleh Allah s.w.t ke atas umat Islam, ” jelasnya.

COMMENTS