Malaysia Dateline

Edar Jalur Gemilang antara cadangan hukuman terhadap MABA

Hukuman khidmat masyarakat dilihat sebagai hukuman yang wajar dikenakan terhadap Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) susulan insiden memalukan yang memaparkan bendera Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima ketika Kejohanan Bola Keranjang, Isnin lalu.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, kerajaan perlu menimbang untuk mengenakan hukuman berat, termasuk denda melakukan khidmat sosial dengan mengedar jalur gemilang ke tempat-tempat awam.

“Perlu ada hukuman dan saya mencadangkan ia dilakukan dalam bentuk khidmat sosial termasuk mengedarkan Jalur Gemilang ke tempat awam.

“Namun, mereka perlu dipantau agar mereka laksanakan hukuman seperti hukuman khidmat sosial yang lain dan mengelakkan mereka culas dari melaksanakan denda yang diberikan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Malah katanya, isu penghinaan terhadap bendera kebangsaan yang sudah beberapa kali berlaku itu tidak memadai dengan hanya permohonan maaf pihak penganjur.

Ini kerana katanya, ia merupakan kesilapan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri.

“Banyak kali dah isu macam ini berlaku. Jadi minta maaf tidak memadai.

“Malah, saya difahamkan MABA dah pecat media yang uruskan program itu. Jadi saya sarankan untuk lantik pihak media yang baru yang faham sensitiviti di Malaysia,” ujarnya.