Malaysia Dateline

Edar segera 10 juta topeng muka secara percuma kepada petugas barisan hadapan

Kerajaan perlu mengedarkan 10 juta topeng muka yang diberikan oleh kerajaan China secara percuma kepada rakyat Malaysia terutama kepada petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak Covid-19

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, selepas diedarkan kepada petugas barisan hadapan, baki topeng muka tersebut perlu dibahagikan sama rata kepada semua rakyat Malaysia melalui pejabat ahli parlimen tanpa mengira parti politik.

Kit Siang berkata, ketika ini semua pihak perlu bertindak sebagai satu negara, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik.

“Dengan pengedaran topeng muka secara percuma kepada rakyat Malaysia, kejadian di mana orang awam diarahkan pulang daripada jabatan kerajaan kerana tidak memakai topeng muka tidak patut lagi berlaku.

“Di peringkat antarabangsa, kita telah melepasi tahap 300,000 kes yang disahkan, yang berkemungkinan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kes.

“Dengan korban nyawa terkini yang telah mencecah paras 13,000 nyawa sehingga Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyatakan bahawa kemelesetan global pada skala yang tidak pernah dilihat sedang menghampiri kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata, selain China, terdapat kekurangan ketara terhadap ‘tindakan polisi yang terancang, tegas, dan berkoordinasi’ daripada negara-negara yang Guterres jangkakan bakal menghadapi kemelesetan tersebut.

Kita Siang turut memetik laporan kematian baharu di Itali yang mencatatkan sebanyak 793 kematian sekaligus meningkatkan jumlah korban kepada 4,825 nyawa ataupun 38.3 peratus jumlah kematian yang direkodkan di seluruh dunia.

Katanya, Negara Mediterranian yang mempunyai penduduk seramai 60 juta itu telah mengatasi kedudukan China sebagai tumpuan global dalam penyebaran Covid-19.

Itali kemudiannya melaporkan 1,420 kematian baharu pada hari Jumaat dan Sabtu lalu yang meningkatkan jumlah kematian keseluruhan di negara tersebut kepada satu paras yang lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan oleh China dan Iran.

“Kadar jangkitan di Itali meningkat daripada 6,557 kes kepada 53,578 kes. Jumlah kematian di daerah Lombardy sekitar Milan adalah 3,095 kematian dengan 25,515 kes positif.

“Angka yang tidak menyenangkan di Itali ini menunjukkan yang wabak ini mampu mengatasi pelbagai langkah pengasingan dan penjarakkan sosial yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Itali.

“Wabak ini kekal tidak dapat dibendung sekaligus membawa kepada kegagalan sistem kesihatan sedia ada, terutamanya di bahagian selatan negara tersebut.

“Adakah Malaysia akan mengikut langkah Itali, ataupun China, yang kini melaporkan tiada sebarang kes jangkitan baharu tempatan untuk tiga hari berturut walaupun negara tersebut masih menghadapi peningkatan ketara kes Covid-19 daripada luar negara?,” soalnya.