Edotco, Melaka ICT bekerjasama bangunkan infrastruktur telekomunikasi

Edotco, Melaka ICT bekerjasama bangunkan infrastruktur telekomunikasi

edotco Malaysia Sdn Bhd dan Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) mengumumkan kerjasama membangunkan serta menaik taraf infrastruktur telekomunikasi canggih di seluruh negeri Melaka.

“Sehingga kini, 14 kawasan, kebanyakan di sekitar Bandar Melaka dikenal pasti untuk dibangunkan infrastruktur telekomunikasi yang inovatif yang akan merangsang perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar dan berkualiti di rantau ini,” kata edotco dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Serantau Kumpulan edotco, Wan Zainal Adileen, berkata kerjasama itu akan membolehkan edocto Malaysia berkongsi kepakarannya dan memainkan peranan dalam pembangunan Melaka, memandangkan negara ini menuju ke arah ketersediaan 5G.

“Kami berbesar hati kerana mendapat kepercayaan MICTH untuk membangunkan rangkaian yang komprehensif infrastruktur telekomunikasi bertaraf dunia untuk negeri bersejarah ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Zulkiply Harun, berkata kerjasama itu akan membolehkan pemasangan penyelesaian yang lebih cepat untuk membantu operator rangkaian mudah alih memenuhi permintaan perkhidmatan selular dan jalur lebar di Melaka.

“Ia mencerminkan aspirasi dan usaha kerajaan negeri Melaka untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan memupuk bakat yang kompetitif melalui akses yang lebih baik dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkualiti,” katanya.