Malaysia Dateline

Ejek kerajaan PN tanda diri sangat jahil, kata Hadi

Semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas menulis tentang, “Apabila politik dipisahkan daripada agama”.

Pagi tadi pula, Ahli Parlimen Marang berkenaan memuatnaik artikel bertajuk, “Kerajaan Allah Sahaja Maha Sempurna.”

Tulisan panjang bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu muncul dua hari berturut-turut pada hari berlangsungnya Sidang Khas Dewan Rakyat.

Namun, beliau hari ini masih mengulangi soal berkaitan politik dipisahkan daripada agama dengan mengaitkan kritikan banyak pihak terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“Apabila YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin membuat kenyataan bahawa kerajaan PN tidak sempurna, maka kedengaran suara ejekan riuh-rendah pihak yang menandakan tahap kefahaman mereka tanpa disedari dirinya bersifat sangat jahil.

“Inilah akibat apabila politik dipisahkan daripada agama sehingga menjadikannya tidak berakhlak, tanpa menyedari sikap yang terlanjur sehingga melupakan bahawa tiada yang sempurna melainkan Allah SWT sahaja,” katanya panjang lebar.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu mengingatkan seseorang yang beriman hendaklah menunjukkan sifat tawadhu‘ secara terbuka dan menunjukkan moral yang tinggi menjadi hamba Allah SWT.

“Selain itu juga, hendaklah beriman bahawa Allah SWT sahaja yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan kelemahan, khususnya dalam menghadapi wabak penyakit besar melanda seluruh dunia yang tidak diketahui bilakah penghujungnya,” kata Hadi lagi.