Malaysia Dateline

Eki tidak puas beraksi menentang Thailand

Penyerang negara, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui tidak puas beraksi ketika diturunkan menentang Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Pemain PKNP FC yang dipinjamkan ke kelab liga utama Thailand, Narkhon Ratchasima FC itu, berkata tempoh aksi singkat diberikan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menyukarkannya memberi impak dalam perlawanan tersebut.

Muhammad Shahrel atau lebih dikenali sebagai ‘Eki’, berkata sekiranya diberikan lebih masa, beliau sekurang-kurangnya boleh menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan sebelum dapat melakukan sesuatu.

“Secara jujur, saya tak puas bermain kerana tempoh permainan yang diberikan itu saya tidak boleh lakukan apa-apa. Situasi perlawanan ketika itu juga agak laju dan ia menambahkan kesukaran kepada saya untuk menyesuaikan diri,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Shahrel yang dinobatkan Penyerang Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2017 dimasukkan pada minit ke-81 ketika skuad Harimau Malaya terdesak memecah kebuntuan gol dalam aksi berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Muhammad Shahrel, 24, bagaimanapun berkata terpulang kepada ketua jurulatih sama ada ingin menggunakan khidmatnya lebih lama atau kekal dengan taktikal tempoh hari menjelang aksi timbal balik di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

“Ia keputusan mutlak ketua jurulatih. Terserah kepada beliau (Cheng Hoe) untuk kekalkan atau ubah taktikal di sana. Apa yang penting adalah kejayaan pasukan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau optimis Malaysia mampu melakar kemenangan sekali gus mara ke final sekiranya corak permainan sama dikekalkan pada pertembungan, Rabu ini.

Namun, perkara sebaliknya boleh terjadi jika pemain negara gagal menyerap tekanan daripada sokongan padu penyokong Thailand kepada pasukan mereka, katanya.

“Suasana di sana pasti lebih sengit kerana penyokong Thailand lebih fanatik dari Malaysia…tetapi kalau kita kekalkan permainan di sini dan bawa ke Bangkok, kita mungkin dapat keputusan positif,” katanya.

— BERNAMA