Ekonomi buruk, Najib tak yakin menang – Guan Eng

Ekonomi buruk, Najib tak yakin menang – Guan Eng

Cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal di Sabah baru-baru ini menunjukkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak kurang yakin partinya mampu meraih kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Jangan ingat BN pasti menang. Saya tak yakin BN pasti menang.

“BN pun tak berapa yakin (menang) bukan saja di Semenanjng tapi juga di Sabah dan Sarawak. Kerana dia tak yakin menang, dia nak buat awal untuk pastikan kemenangan di Sabah,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, seperti dipetik Roket Kini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut berkata Najib juga sedar kerajaan berdepan dengan krisis keyakinan rakyat akibat keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

“Saya banyak terima aduan dari peniaga-peniaga, keadaan ekonomi teruk, peniaga di Pulau Pinang mengadu perniagaan mereka jatuh 30 peratus. Tapi di Pulau Pinang ada pelancong. Negeri lain saya rasa lagi teruk,” katanya dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia di Petaling Jaya semalam.

Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia dihadiri semua pimpinan utama Pakatan Harapan antaranya Presiden PKR Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad

Katanya jika sesebuah tender projek dibuka pada waktu ini, semakin banyak syarikat akan masuk menyertai.

“Mereka cakap negeri lain tak banyak projek. Ini tak termasuk Selangorlah, tapi negeri belah utara,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bagan.

Sementara itu, Guan Eng menyifatkan Sabah dan Sarawak sebagai kunci kepada perubahan di Malaysia.

Menurutnya, Pakatan Harapan tidak boleh terlalu memberi tumpuan kepada isu-isu utama ‘Semenanjung’ sahaja tetapi perlu memainkan peranan supaya perjuangannya dilihat menyeluruh.

Tanpa pendekatan menyeluruh ujarnya, ia akan memberi kelebihan kepada BN yang akan terus menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai negeri ‘deposit tetap’ mereka.

“Kita terlalu Semenanjung centric. Kita jangan lupakan Sabah dan Sarawak kerana mereka adalah kunci (perubahan).

“Tanpa Sabah dan Sarawak, kita tak ada harapan. Sabah Sarawak tidak boleh terus menjadi negeri deposit tetap BN,” tegasnya.

Selain itu, beliau mahu supaya isu yang diperjuangkan Pakatan Harapan dan rakan-rakan gabungan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah ekonomi yang melanda rakyat dan negara.

“Kita kena beri tumpuan kepada isu ekonomi, jika kita dapat satu formula selesai isu ekonomi, kita akan dapat sokongan masyarakat Malaysia khususnya dari kau Melayu, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Guan Eng mengambil contoh apa yang berlaku kepada penyokong parti Demokrat yang akhirnya mengundi Trump dari parti Republikan memandangkan masalah ekonomi dan pengangguran yang melanda Amerika Syarikat.

“Trump gunakan isu ekonomi. Kebanyakan penyokong Demokrat kata mereka benci Trump tetapi mereka lebih benci kemerosotan ekonomi. Dari situ, mereka ubah undi,” katanya.

TAGS