Ekonomi gawat, lepasan universiti terdesak mohon jawatan kerani

Rafizi Ramli dedah lepasan universiti terdesak pohon jawatan kerani yang dibuka Invoke.

Kegawatan ekonomi menyaksikan lepasan universiti tidak mempunyai pilihan untuk mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan diperoleh hinggakan terdesak memohon jawatan kerani sekali pun.

Pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli berkongsikan pengalamannya berdepan dengan permohonan graduan universiti untuk jawatan yang hanya memerlukan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu.

Menurutnya, mereka terbabit terpaksa berbuat demikian selepas menjadi penganggur untuk tempoh yang lama ketika pada masa sama perlu menjelaskan hutang pinjaman pendidikan.

“Keluar universiti dapat keputusan baik, tiada kerja. Yang dapat kerja pula, gaji tak cukup.

“Saya iklankan perlu seorang kerani untuk bantu kerja-kerja pentadbiran awam yang mudah-mudah dalam pejabat. Tujuannya nak bagi kerja pada lepasan SPM.

“Saya iklankan satu kerja RM1,500 sebulan. Duduk di Kuala Lumpur untuk jadi kerani saja. Yang minta semua lepasan universiti.

“Bila temuduga dan kami kata tak sesuai dan jawatan ini untuk lepasan SPM, mereka jawab sudah tiga, empat tahun menganggur.

“Bagilah apa saja kerja, saya sanggup buat,” kata Rafizi mengulang kembali reaksi pemohon untuk jawatan kerani itu.

Beliau berkongsikan kisah tersebut dalam pidatonya pada siri Jelajah Bina Semula Negara 2.0 di Sungai Bakap, Parlimen Nibong Tebal semalam.

Naib Presiden PKR berkenaan juga bercerita tentang juniornya di Kolej Melayu Kuala Kangsar yang menganggur selepas tamat belajar universiti dengan ijazah kejuruteraan kimia.

“Lima bulan sampai sekarang tidak dapat kerja. Payah sangat mana nak cari kerja,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan keadaan ekonomi negara semakin teruk dengan menyaksikan banyak syarikat meninggalkan Malaysia.

“Syarikat yang ada pun lari ke Vietnam, Filipina. Mereka tak mahu di sini,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan pada masa ini tidak benar-benar peduli dengan masalah dihadapi rakyat termasuk isu pengangguran ini.

“Bila negara kita yang kaya ditadbir oleh mereka yang duduk di atas kayangan yang mewahnya mengatasi segala-galanya, rakyat di bawah tidak nampak,” bidasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Laporan Kajian Pengesanan Graduan mendedahkan peratusan graduan ijazah pertama yang memperoleh gaji RM1,500 dan ke bawah didapati meningkat daripada 26.7 peratus pada 2016 kepada 35.2 peratus tahun lalu.

Laporan yang boleh diakses di laman web Kementerian Pengajian Tinggi itu turut mendedahkan realiti graduan yang mendapat pendapatan bulanan RM3,001 dan ke atas semakin berkurang.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES