Ekonomi lemah, populariti Presiden Korea Selatan menurun

Ekonomi lemah, populariti Presiden Korea Selatan menurun

Populariti Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menurun ekoran kebimbangan rakyat terhadap ekonomi negara yang lemah, demikian menurut satu tinjauan yang dijalankan minggu lalu.

Tinjauan oleh Gallup Korea mendapati sokongan terhadap pentadbiran Moon menurun satu mata peratusan daripada 46 peratus kepada 45 peratus minggu ini.

Penurunan itu dipercayai disebabkan kebanyakan responden kurang bersetuju dengan dasar ekonomi Moon, lapor agensi berita Xinhua.

Antara yang diperkenalkan Presiden Korea Selatan itu ialah langkah mengurangkan jurang pendapatan isi rumah, yang disifatkan lebih menumpukan kepada kos buruh syarikat berbanding menjamin kualiti kehidupan di kalangan masyarakat berpendapatan rendah.

Keluaran Dalam Negara Kasar juga mencatatkan pertumbuhan terendah dalam tempoh enam tahun.

Di samping itu populariti Parti Demokrat yang memerintah turut menurun tiga mata peratusan kepada 37 peratus untuk tempoh sama, diikuti parti pembangkang Liberty yang mendapat 18 peratus.

— BERNAMA