Ekonomi makin rancak, Indonesia label Malaysia ada harta karun RM2.94 trillion

Oleh ROSLAN ZAMAN

Kejayaan kerajaan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim memposisikan ekonomi Malaysia secara berfokus telah menarik perhatian seluruh dunia kepada Malaysia.

Fokus Malaysia khusus kepada teknologi AI atau disebut kecerdasan buatan dan pembinaan pusat data yang diumumkan kerajaan telah menarik ramai syarikat-syarikat besar dunia untuk menapak di Malaysia.

Kejayaan ini telah dilabelkan oleh media Indonesia sebagai ‘harta karun’ yang dimiliki Malaysia. Ianya selaras dengan laporan P&S Intelligence meramalkan pertumbuhan pesat ‘harta karun’ dalam sektor ini dijangka mencecah AS$ 622.4 bilion (RM2.94 trilion) menjelang 2030.

Antara syarikat terbesar yang datang ke Malaysia adalah ByteDance yang melabur sekitar RM10 Billion, Google juga datang ke Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$ 2 bilion, Microsoft juga tidak mahu ketinggalan dengan pembelian 49 hektar tanah di Johor yang bernilai AS$ 2.2 bilion, manakala Oracle pula mengumumkan pelaburan bernilai US$ 6.5 bilion di Malaysia.

Virginia Utara di Amerika Syarikat dahulu pernah dikatakan sebagai pasaran pusat data terbesar di dunia.

Bagaimanapun, dengan permintaan yang semakin meningkat, rantau ini tidak mampu lagi menyerap semua keperluan syarikat teknologi besar.

Disebabkan itu, Malaysia telah dianggap sebagai destinasi utama bagi syarikat-syarikat ini untuk datang dan bekerjasama dalam membina pusat kemudahan yang menampung teknologi dunia moden.

Lokasi Malaysia yang berhampiran dengan Singapura juga merupakan salah satu faktor utama kenapa syarikat-syarikat ini ingin melabur di Malaysia.

Menurut Rangu Salgame, seorang ketua pegawai eksekutif Princeton Digital Group, beliau mengatakan bahawa pembinaan kemudahan pusat data di Johor bukan sahaja untuk keperluan tempatan tetapi juga untuk keperluan AI di peringkat global.

Pertumbuhan pesat industri pusat data dan teknologi AI akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu pusat utama yang akan membangun dalam masa terdekat.

Ini juga membuka ruang kepada syarikat startup tempatan untuk mengambil bahagian dalam industri yang semakin berkembang dengan tumpuan yang lebih besar kepada inovasi masa depan yang lebih baik sambil memanfaatkan bakat baharu yang ada di Malaysia.

baca: Apa hukum cerita mimpi bertemu Nabi Muhammad? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus