Malaysia Dateline

Ekonomi makin tenat, PN jangan menyorok di sebalik proklamasi darurat

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu segera mengambil sikap bertanggungjawab terhadap kegagalan menguruskan ekonomi yang terbukti dengan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) antara yang terburuk dalam sejarah.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menegaskan PN tidak harus bersembunyi di sebalik proklamasi darurat ketika rakyat semakin teruk dihimpit dengan krisis kehilangan kerja serta peniagaan yang amat terkesan.

“Kelemahan PN dalam mentadbir negara yang sepatutnya sudah memasuki fasa pemulihan ekonomi dilihat semakin memuncak dengan satu demi satu kegagalan yang akhirnya akan menambah derita rakyat.

“Kerajaan PN seperti kehilangan punca apabila segala perancangan yang dibentangkan tidak menemui hasil bahkan mengundang kemerosotan prestasi ekonomi negara.

“Tambah membimbangkan apabila kerajaan dilihat lebih gemar bermain politik dengan melakukan pelbagai helah sehinggakan hari ini mereka mula bercakaran sesama sendiri,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia itu berpendapat proklamasi darurat oleh Perdana Menteri semakin menampakkan langkah politik tempang dan jauh sekali kepada usaha untuk memulihkan ekonomi.

“Lebih janggal apabila orang kanan YAB Perdana Menteri iaitu YB Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan bahawa pelaksanaan darurat tidak menjejaskan keyakinan pelabur, hanyalah satu kenyataan yang syok sendiri, tersasar dari realiti dan tidak menjawab persoalan terhadap kegagalan usaha PN pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 tambah membimbangkan apabila kerajaan PN bercakaran sesama sendiri.

Akmal turut memetik prestasi Malaysia sebagai negara di ASEAN yang mengalami kemerosotan FDI amat ketara iaitu penurunan sebanyak 68 peratus dengan hanya mampu menarik pelaburan sekitar US$2.5 bilion mengikut laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) bagi tahun 2020.

“Sudah pasti penularan wabak Covid-19 akan menjadi alasan utama yang akan digunakan PN bagi menjustifikasi kemerosotan ketara ini.

“Namun, ia masih tidak dapat menafikan kegagalan pentadbiran kerajaan kerana negara ASEAN lain masih mampu mengawal kemerosotan yang terlalu ketara.

“Malah, Filipina menunjukkan prestasi yang baik dengan peningkatan FDI sebanyak 29 peratus pada tahun lepas,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kemuraman ekonomi negara berbanding negara ASEAN lagi sebagai isyarat jelas bahawa pelabur sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang mampu menarik minat mereka.

“Bukan itu sahaja, pelabur sedia ada juga sudah mula mengangkat kaki. Contohnya, Syarikat Hyundai yang beribu pejabat di Malaysia bagi kawasan Asia Pasifik yang turut menempatkan Hyundai Training Academy juga akan berpindah ke Indonesia.

“Awal sebelum itu turut telah mengesahkan pelaburan bernilai $1.55 billion untuk pasaran Indonesia sehingga 2030.

“Ini sudah pasti memberi tamparan hebat buat Malaysia yang bercita-cita menjadi sebagai hab automotif serantau Asia Tenggara,” kata Akmal.

Beliau menambah kegagalan menarik pelaburan baharu serta mengekalkan pelaburan sedia ada akan menjurus kepada penyusutan peluang pekerjaan serta peningkatan pembuangan pekerja yang semakin membimbangkan.

“Selanjutnya, merujuk data melalui Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) sahaja telah merekodkan seramai 99,696 orang pekerja diberhentikan sehingga 27 November 2020 walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Ini adalah petunjuk jelas bahawa perancangan yang direncana kerajaan gagal memberi penyelesaian mengakar yang mana keadaan sebenarnya kian membarah terutamanya apabila negara berhadapan PKP2.0 dan darurat,” kata Akmal lagi.