Malaysia Dateline

Ekonomi Malaysia berkembang 4.9 peratus pada suku kedua, kata Gabenor BNM

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh 4.9 peratus pada suku kedua 2019 meskipun berdepan persekitaran mencabar.

Pada suku pertama 2019, ekonomi negara berkembang 4.5 peratus, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus pada separuh pertama tahun.

Gabenor Bank Negara Malaysia,  Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata pertumbuhan kukuh itu disokong oleh pengembangan berterusan semua sektor ekonomi.

Beliau berkata, pemulihan gangguan bekalan komoditi dan kemajuan prestasi dalam sektor perkilangan dan pembinaan menyokong pertumbuhan.

Katanya, perbelanjaan swasta yang berterusan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini,” katanya seperti dilaporkan bharianonline.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia suku kedua 2019 di sini hari ini.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan terus disokong oleh aktiviti sektor swasta.

Namun, katanya sektor luaran dijangka terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan susulan ketegangan perdagangan yang masih berlarutan.