Malaysia Dateline

Ekonomi Malaysia dapat sokongan daripada permintaan, pelaburan domestik yang kukuh

Ekonomi Malaysia akan mendapat sokongan daripada penggunaan swasta dan pelaburan domestik yang kukuh di tengah-tengah kebimbangan mengenai pertikaian perdagangan AS-China yang semakin memuncak dan pertumbuhan global yang sederhana, dengan ekonomi dijangka berkembang 4.8 peratus tahun depan.

Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), Julia Goh berkata, kesan ketegangan perdagangan itu akan lebih terasa pada 2019.

Beliau berkata, Belanjawan 2019 akan menawarkan pelbagai langkah fiskal yang positif untuk mengukuhkan perbelanjaan pengguna, manakala bayaran balik cukai akan membantu meningkatkan aliran tunai bagi sektor swasta dan perbelanjaan domestik.

“Ia akan menyokong ringgit dan ekonomi. Anggaran pertumbuhan 4.8 peratus dianggap stabil di tengah-tengah ekonomi yang menyederhana di rantau ini. Bagi 2018, kami juga menjangka pertumbuhan yang sama, iaitu 4.8 peratus,” katanya pada seminar Prospek Ekonomi 2019 anjuran bank tersebut di sini, hari ini.

Dalam jangka panjang, Goh berkata, ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada usaha kerajaan untuk mengukuhkan keyakinan pelabur.

Menurutnya, sektor elektrik dan elektronik negara akan menjadi antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada perang perdagangan AS-China, dengan banyak syarikat tempatan yang sudah menerima pertanyaan daripada mereka yang merancang untuk berpindah di sini.

Eksport dan juga import dijangka berkembang masing-masing antara empat hingga lima peratus.

“Bagi perdagangan bersih pada 2019, kita melihat pertumbuhan keseluruhan yang negatif tetapi ia akan diimbangi oleh sokongan permintaan domestik.

“Banyak usaha dibuat untuk mempelbagai dan mengembangkan asas eksport kita. Semua ini akan membantu mengekalkan lebihan semasa dan pertumbuhan eksport,” katanya.

Pada masa lalu, wujud kebimbangan mengenai defisit akaun dalam beberapa suku selepas kandungan import negara yang tinggi, katanya, sambil menambah bahawa penangguhan dan pembatalan projek mega baru-baru ini berkemungkinan akan mengurangkan jumlah import.

Mengenai inflasi utama, beliau menjangka ia akan berada pada 1.2 peratus tahun ini dan dua peratus tahun depan.

Goh juga menjangka Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus pada separuh pertama 2019.

— BERNAMA