Malaysia Dateline

Ekonomi Malaysia dijangka terus berada di landasan pertumbuhan stabil tahun ini

Di sebalik persekitaran global yang lebih mencabar dan tidak menentu, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil, disokong oleh aktiviti sektor swasta domestik yang kukuh.

Laporan Tahunan Suruhanjaya Sekuriti 2018 menyatakan bahawa pertumbuhan akan dipacu oleh aktiviti perkilangan yang mampan dan seterusnya disokong oleh pengembangan sektor perkhidmatan yang berdaya tahan, terutama dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.

“Dari segi permintaan, kadar upah yang stabil dan pertumbuhan dalam pengambilan pekerja akan terus memacu pengembangan penggunaan swasta. Projek baharu dan sedang dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan pula akan terus menyokong pertumbuhan pelaburan swasta.

“Usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital dan automasi juga akan menjadi pemangkin utama kepada aktiviti pelaburan pada masa akan datang,” katanya.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pasaran modal domestik akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pembiayaan bagi pengembangan perniagaan dan infrastruktur.

Katanya jumlah pengumpulan modal melalui terbitan utama dan sekunder dijangka terus kukuh terutama dalam pasaran bon.

Sementara itu, laporan tersebut menyatakan aktiviti dagangan di pasaran sekunder akan terus dipacu oleh perkembangan luaran, terutama pergerakan dalam aliran portfolio berikutan peralihan kecairan global dan peningkatan secara umum turun naik pasaran kewangan global.

“Perkembangan yang dialami selepas krisis kewangan globa (GFC) menunjukkan bahawa pergerakan trend pendasar dalam aliran portfolio bukan pemastautin, sebahagian besarnya ditentukan oleh hala tuju dasar monetari bank pusat utama, terutama Rizab Pesekutuan US.

“Di luar pergerakan trend, episod turun naik pasaran kewangan pasca GFC boleh dikaitkan dengan peristiwa negatif tertentu seperti krisis hutang Eropah, lonjakan hasil pulangan Fed US, kejutan penurunan nilai yuan China, kejatuhan harga minyak, pemilihan presiden AS, dan ketegangan perdagangan,” katanya.

Katanya lagi prospek bagi pasaran modal domestik pada 2019 akan terus dipengaruhi oleh perkembangan utama di peringkat global, terutama hala tuju dan rentak dasar monetari global dengan turun naik pasaran yang didorong oleh ketidakpastian berterusan terhadap risiko utama, khususnya yang berkaitan dengan ketegangan perdagangan berterusan dan kebimbangan terhadap pertumbuhan global.

— BERNAMA