Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh pada Mac-Mei 2019

Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh pada Mac-Mei 2019

Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh bulan Mac hingga Mei 2019, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan bulanan Indeks Pelopor (IP) meningkat pada November 2018, mencatat pertumbuhan 0.3 peratus kepada 119.0 mata daripada 118.7 mata pada Oktober 2018.

“Sumbangan positif adalah daripada bilangan unit kediaman yang diluluskan (0.4 peratus), import benar logam assas berharga & logam bukan ferus Lain (0.2 peratus) dan Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (0.1 peratus.”

“Perubahan tahunan IP mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 1.6 peratus dalam bulan rujukan November 2018,” katanya dalam laporan ‘Indeks Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan November 2018’ yang dikeluarkan hari ini.

Komposit IP disusun untuk memberikan jangkaan arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS), yang mengkaji aktiviti ekonomi semasa, menurun 0.1 peratus pada November 2018.

Beliau berkata Gaji & Upah Benar dalam sektor perkilangan (-0.2 peratus) merupakan antara tiga komponen yang mendorong kepada penurunan IS pada bulan rujukan.

“Pada masa yang sama, perubahan tahunan IS tumbuh 3.6 peratus pada November 2018,” katanya.

— BERNAMA