Ekonomi Melaka dijangka berkembang sehingga 5.5 peratus tahun ini, kata Ketua Menteri

Ekonomi Melaka dijangka berkembang sehingga 5.5 peratus tahun ini, kata Ketua Menteri

Pertumbuhan ekonomi Melaka dijangka berkembang sederhana pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini, kata Ketua Menterinya Adly Zahari.

Beliau berkata bagi merancakkan pertumbuhan itu kerajaan negeri sedang menyusun dan merangka pelan induk pembangunan negeri bagi menggalakkan pelaburan asing dan domestik, sekali gus merealisasi hasrat meraih pelaburan RM5 bilion setahun.

“Beberapa strategi sedang dirangka bagi mewujudkan iklim pelaburan lebih kondusif melalui pemantauan dan penambahbaikan infrastruktur lokasi industri dalam usaha mengukuhkan lagi Melaka sebagai pilihan pertama bagi syarikat berprestasi tinggi dalam kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Pertemuan di antara pemimpin negeri dan pengurusan atasan syarikat turut diadakan secara lebih kerap bagi mewujudkan lebih banyak kerjasama dan seterusnya meningkatkan hubungan ekonomi dua hala selain lawatan dan majlis dialog dengan pekilang bagi mengenal pasti isu berbangkit,” katanya.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.Foto Bernama.

Adly berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerja ke Kilang Infineon Technologies di Zon Perdagangan Bebas Tiga, Batu Berendam di sini hari ini.

Turut hadir Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technologies (M) Sdn Bhd Lee Chee Hong.

Sehingga kini, terdapat 418 kilang beroperasi di Melaka dengan 235 daripadanya merupakan syarikat pelaburan tempatan manakala selebihnya syarikat pelaburan asing.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya ke kilang itu, Adly berkata Infineon bakal menambah nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion bagi projek pembangunan fizikal Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2016-2025 (Blueprint 2.0) di kawasan sedia ada, yang dijangka bermula Julai depan.

“Kita berharap agar projek yang mengambil masa lima tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat ini dapat berjalan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) komited bagi memperkasa tahap pendidikan masyarakat negeri itu seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan kehendak industri.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi kerajaan negeri, IR4.0 menuntut tahap kepakaran lebih tinggi daripada tenaga kerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bahagian operator pengeluaran.

“Kita mempunyai pelan tindakan yang mana kita memberi fokus untuk meningkatkan lagi keupayaan anak Melaka agar mereka sekurang-kurangnya mempunyai sijil kemahiran selepas tamat SPM.

“Justeru, kita akan lebih proaktif mengadakan kerjasama dengan pihak industri dan swasta agar lebih berdaya saing dalam menghadapi era IR4.0,” katanya.

– BERNAMA