Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keadaan ekonomi negara kini kembali mengukuh pasca Covid-19.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan beliau telah berkunjung ke Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini bagi mendengar taklimat mengenai prospek, tantangan serta tumpuan dasar ekonomi negara saat ini.
Dalam kunjungan itu, kedua-dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan turut hadir dan menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi Bank Negara Malaysia.
Anwar merasakan kerajaan masih perlu memikirkan cabaran semasa terhadap ekonomi negara dengan mengambil kira risiko seperti pertumbuhan global yang lembab, konflik dan masalah geopolitik di peringkat antarabangsa yang terus memburuk serta gangguan kepada rantaian bekalan makanan.
“Kerajaan akan bertindak segera dengan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani permasalahan ini
“Usaha dan upaya saya adalah memastikan reformasi struktur ekonomi dijelmakan dengan teratur bagi merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas-asas ekonomi negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan akan berusaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti, peralihan kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial, dan memantapkan daya tahan fiskal.
“InshaAllah, langkah-langkah ini dilaksanakan dengan dukungan BNM dan semua jabatan yang berkaitan,” katanya lagi.