Pulau Pinang telah mencapai kadar pertumbuhan tertinggi dalam negara bagi tahun 2021 iaitu pada kadar 6.8%, dan sumbangan kepada KDNK meningkat 7.1%.
Sektor pembuatan meningkat pada kadar 12.4% dan pembinaan pada kadar 12.9%.
Sektor pembuatan kekal sektor utama negeri Pulau Pinang dengan sumbangan bidang elektrik dan elektronik (E&E) membentuk 33.6% kepada KDNK negeri Pulau Pinang dan pelaburan sektor ini juga meningkat dengan jumlah sebanyak RM76.2 bilion.
Bagi merancakkan pertumbuhan industri dalam negeri ini, terdapat 9 taman perindustrian yang telah siap dibina dengan keluasan 6,124.7 ekar.
Lokasi itu termasuk Taman Perindustrian Perai dan Taman Perindustrian Mak Mandin, dan di bawah PDC termasuk Taman Perindustrian Penang Science Park North, Penang Science Park South, Batu Kawan Industrial Park dan Bandar Cassia Technology Park.
Dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) serta kemampuan membangunkan ekonomi negeri telah menjadikan rizab negeri Pulau Pinang setakat akhir 2021 meningkat sehingga mengumpulkan jumlah sebanyak RM2.117 bilion.
KDNK per kapita Pulau Pinang meningkat 6% di mana pada 2019 sebanyak RM55,202 kepada RM58,527 bagi tahun 2021.
Pencapaian ini menunjukkan Pulau Pinang telah berjaya keluar daripada krisis pandemik Covid-19.
Teknologi masa hadapan
Saya memandang berat soal pembangunan ekonomi di negeri ini supaya kesejahteraan rakyat terjamin dan peluang pekerjaan kepada setiap anak negeri wujud.
Dalam kita melangkah masuk ke tahun 2023, semakin ramai pakar ekonomi menjangkakan dunia akan terkesan akibat “recession” atau krisis ekonomi.
Malaysia tidak terkecuali dan Pulau Pinang selaku salah satu hab industri dunia akan turut menerima impaknya.
Justeru, fokus kerajaan negeri Pulau Pinang harus diberikan terhadap pengukuhan sosioekonomi rakyat dan pada masa yang sama, menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat-syarikat domestik dan antarabangsa.
Pulau Pinang mesti meneroka industri “Ekonomi Baharu” untuk mengurangkan kebergantungan kepada Ekonomi Tradisional.
Ekonomi Baharu di sini bermaksud industri-industri yang berteraskan teknologi masa hadapan dan berpotensi tinggi. Ini termasuk data centres, AgriTechs dan syarikat pelopor Metaverse.
Walaupun Pulau Pinang sudah memulakan usaha ke arah Ekonomi Baharu, namun masih banyak yang perlu dilakukan.
Oleh itu, pembangunan teknologi liputan 5G perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri bagi memajukan industri ekonomi digital ini.
Kerajaan negeri juga harus berkecimpung dalam Ekonomi Baharu ini sebagai “fasilitator” untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang dikemudi anak-anak tempatan.
Dengan adanya usaha-usaha sebegini, ia akan meletakkan Pulau Pinang lebih ke hadapan atau “ahead of the curve”.
Langkah ini penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak-anak muda tempatan.
Kerjasama boleh dijalankan dengan semua institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang, awam atau swasta, untuk menyediakan tenaga kerja tempatan selaras dengan keperluan industri-industri sedia ada dan industri-industri Ekonomi Baharu.
Di samping itu, satu program khusus perlu diperkenalkan untuk “upskill” kemahiran golongan muda Pulau Pinang selaras dengan keperluan syarikat-syarikat yang turut mengambil bahagian.
Inisiatif ini bukan saja menjadikan rakyat Pulau Pinang lebih berkemahiran, tetapi juga dapat membantu mereka menjana pendapatan yang jauh lebih baik.
Pulau Pinang perlu bergerak pantas selaras dengan visi Penang2030 untuk memastikan kelestarian pembangunan ekonomi rakyat negeri ini.
Walaupun pelbagai tohmahan perkauman dilemparkan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang, namun sentimen itu tidak sesekali mematahkan semangat kita untuk memberikan fokus kepada tugas hakiki membangunkan ekonomi negeri.
Membiarkan rakyat hidup miskin adalah tidak bertepatan dengan kehendak syara’. Pembentukan sebuah kerajaan yang berpaksikan prinsip syara’ “baldatun tayyibatun warabbun ghaffur” adalah fokus Pakatan Harapan (PH).
Baca juga Anwar perlu diberi peluang bentuk kerajaan, tidak perlu SD Ahli Parlimen