Ekonomi teruk, wanita diseru guna kuasa undi tukar kerajaan

Ekonomi teruk, wanita diseru guna kuasa undi tukar kerajaan

Golongan wanita yang mengalami kesan langsung akibat kenaikan harga barang dan kesukaran ekonomi lain perlu bangkit membuat perubahan melalui peti undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan Normala Mohd Nadzar berkata sebagai pengurus harian perbelanjaan rumah tangga, kini golongan wanita paling tertekan.

“Kalau dulu dengan wang RM50 kita boleh pergi ke pasar dengan senang hati, sekarang dengan wang sebanyak itu merimaskan apa yang perlu dibeli untuk menampung keperluan dapur.

“Bagi keluarga yang masih ramai anak bersekolah setiap pagi keresahan dirasai untuk memastikan belanja anak-anak cukup,” katanya di majlis pertemuan wanita di dewan orang ramai Dalam Kemunting Pasir Puteh semalam.

Golongan wanita katanya perlu sedar situasi ekonomi buruk sekarang adalah akibat pengurusan kewangan negara cara Barisan Nasional (BN) yang dipenuhi rasuah dan salah guna kuasa.

“Negara ini yang kaya raya tidak ada apa-apa sebab yang menjadikan rakyat kini begitu terbeban dengan kenaikan pelbagai cukai dan pemansuhan pelbagai subsidi dan bantuan.

“Kini semua sektor sedang merasai akibat pengecutan belanjawan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau mengambil contoh suasana pelajar-pelajar di universiti yang kini dipotong pelbagai kemudahan menjalani kehidupan yang begitu menyiksakan.

“Anak saya sendiri yang masih menuntut di IPT memberitahu mereka terpaksa berpuasa sekurang-kurangnya dua hari seminggu untuk memastikan wang perbelanjaan mencukupi.

“Itupun hampir setiap hari hanya makan maggi saja,” katanya.

Di universiti tertentu katanya, staf di bahagian akademik dikurangkan kerana kekurangan peruntukan untuk membayar gaji.

“Bila staf akademik berkurangan, peluang kemasukan pelajar terpaksa dikurangkan dan ini tentulah akan menimbulkan pelbagai masalah kepada golongan belia dan masyarakat keseluruhannya pada masa depan,” katanya.

Menurutnya golongan wanita adalah kumpulan paling hadapan merasai kemelut dan kesukaran akibat pengurusan ekonomi yang khianat seperti ini.

“Bila anak-anak tidak cukup belanja mereka beritahu emak bukan ayah.

“Kaum ibu perlu sedar mereka ada kuasa yang boleh memperbetulkan keadaan ini dengan memilih satu kerajaan baru yang mengutamakan rakyat,” katanya.

Beliau menyeru kaum wanita bersama-sama gelombang parti-parti yang kini semakin memantapkan kerjasama bagi menumbangkan BN.

“Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu telah menandatangani perjanjian untuk muncul satu gabungan menghadapi PRU14.

“Kita yakin dengan kemunculan tokoh-tokoh besar termasuk Tun Dr Mahathir sendiri, gabungan ini akan lebih mampu membina sebuah negara pro rakyat menggantikan sistem kuno yang mencangkam kita sekarang,” katanya.

TAGS