Malaysia Dateline

Ekoran kes Khairuddin, ramai lagikah menteri keluar negara ketika rakyat tidak boleh

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mendedahkan berapa ramaikah Menteri, Timbalan Menteri, dan pegawai tinggi kerajaan yang telah diberikan kebenaran untuk keluar negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, Muhyiddin juga perlu menjelaskan apakah Kementerian Kesihatan telah merangka suatu ujian saringan khas Covid-19 untuk membolehkan mereka ini tidak mengikuti SOP sedia ada.

Demikian kata Lim Kit Siang ekoran terdedahkan bagaimana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, telah melanggar SOP yang ditetapkan dengan melanggar kuarantin.

“Nampaknya kita telah diberikan satu lagi alasan baharu yang membolehkan seorang Menteri Kabinet untuk tidak mengikuti perintah kuarantin 14 hari selepas pulang daripada lawatan selama lima hari ke Turki pada awal bulan Julai yang lepas.

“… kononnya Menteri tersebut telah menjalani satu “ujian saringan khas” sejurus selepas pulang daripada lawatan tersebut dan telah didapati negatif daripada wabak Covid-19,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Sehubungan itu, beliau bertanya, “Apakah bentuk ujian saringan khas ini” soal Kit Siang ekoran kenyataan “Ujian saringan khas ini membolehkan para pemimpin negara yang perlu untuk keluar masuk negara, termasuklah di atas urusan peribadi, untuk disaring dengan pantas.” sebagaimana dilaporkan media.

Bagi beliau, perkara ini adalah satu berita baharu untuk rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, Muhyiddin perlu mendedahkan sama ada wujudkah “ujian saringan khas” ini untuk Menteri, Timbalan Menteri, dan pegawai tinggi kerajaan, dan berapa ramaikah Menteri, Timbalan Menteri, dan pegawai tinggi kerajaan yang telah diberikan kebenaran untuk keluar negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dua alasan yang diberikan sebelum ini kepada Khairuddin iaitu (i) lawatan ini telah dibenarkan oleh Perdana Menteri dan (ii) Turki dikategorikan sebagai sebuah “negara zon hijau”.

“Memandangkan Perdana Menteri sendiri telah dinamakan sebagai individu yang memberikan kebenaran untuk lawatan ini, beliau tidak boleh berdiam diri dalam isu ini dan perlu menjelaskan perkara yang sebenarnya untuk mengelakkan kekeliruan,” desak Kit Siang.

Katanya, beliau amat tertarik dengan dakwaan Menteri tersebut yang kononnya Turki dikategorikan sebagai sebuah “negara zon hijau” dari segi penularan wabak Covid-19.

Turki kini berada di tempat ke-18 teratas di dunia dengan sejumlah 254,520 kes terkumpul dan 6,058 kematian akibat Covid-19 — untuk perbandingan, China mencatatkan 84,895 kes dan 4,634 kematian.

“Memandangkan Turki mempunyai tiga kali ganda jumlah kes terkumpul berbanding China dan merekodkan lebih banyak kematian berbanding dengan negara China, adakah Kabinet Malaysia ataupun Kementerian Kesihatan melihat Turki sebagai sebuah negara yang lebih selamat berbanding China dari segi penularan Covid-19?.

“Ataupun, adakah dakwaan bahawa Turki merupakan “negara zon hijau” ini hanyalah angan-angan Menteri yang berkenaan?” soal beliau.