Malaysia Dateline

Mohamed Hanipa Maidin02

Ekoran komen di FB, pegawai TNB jumpa Hanipa

Ekoran komen beliau di laman Facebook mengenai isu kenaikan melampau bil letrik pengguna, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin telah ditemui oleh pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membincangkan isu berkenaan hari ini.

Kata Hanipa, selepas membuat komen tersebut pada 12 Jun lalu, beliau menerima mesej daripada kakitangan beliau memaklumkan bahawa Ketua Khidmat Pelanggan TNB Selangor yang juga seorang Datuk ingin berjumpa beliau bagi membincangkan isu kenaikan bil TNB ini.

“Saya setuju. Dan Alhamdulillah hari ini lebih kurang empat orang wakil TNB telah berjumpa saya di sebuah kedai makan. Alhamdulillah, pertemuan berjalan dalam suasana yang penuh mahabbah.

“Saya menjelaskan tentang aduan yang saya terima dari banyak pihak di seluruh negara – tidak terhad di Sepang sahaja – dan saya menyatakan pihak TNB bukan sahaja perlu menjelaskan isu ini dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat tetapi juga mencari satu penyelesaian “win win” kepada dua-dua pihak, iaitu pelanggan/rakyat dan TNB,” kata beliau dalam FB beliau hari ini.

Komen yang dibuat oleh Hanipa di FB pada 12 Jun lalu.

Dalam pertemuan tersebut kata Hanipa, beliau juga menyatakan betapa marah dan kecewanya rakyat ke atas TNB tentang kenaikan bil yang tinggi dalam keadaan mereka sedang menghadapi kesukaran hidup akibat PKP.

Jelasnya, pihak TNB telah memberikan penerangan kepada beliau apa yang berlaku dan bersetuju mencari satu jalan penyelesaian bagi isu ini.

“Dan apabila saya meminta TNB mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam bahasa yang mudah difahami untuk saya siarkan di FB ini, mereka bersetuju.

“Dan saya juga meminta pihak TNB cuba sedaya upaya menghubungi para pelanggan yang hadapi masalah isu ni secara “personal” bagi mencari satu penyelesaian yang diterima.

“Alhamdulillah, pihak TNB bersifat positif dengan cadangan saya tersebut,” katanya lagi.

Beliau berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan semoga rakyat akan berpuas hati.