Ekovest meterai perjanjian pengurusan hotel dengan Melia Hotels International

Ekovest meterai perjanjian pengurusan hotel dengan Melia Hotels International

Ekovest Bhd menandatangani perjanjian pengurusan hotel untuk tempoh 15 tahun dengan rangkaian hotel terbesar di Sepanyol, Meliá Hotels International, untuk menguruskan suite hotelnya dalam pembangunan EkoCheras.

Syarikat pembinaan itu berkata suite hotel itu akan dikenali sebagai Innside Kuala Lumpur Cheras dan beroperasi di bawah jenama Innside Meliá Hotels.

“Melalui penyertaan Innside oleh Meliá, EkoCheras dijangka menyaksikan peningkatan jumlah pengunjung, terutamanya dalam kalangan ‘worktripper’,” kata Pengerusi Eksekutif Ekovest Tan Sri Lim Kang Hoo dalam kenyataan hari ini.

Hotel itu dijadualkan dibuka pada akhir 2019 dan akan menawarkan sebanyak 238 buah bilik.

Meliá Hotels International pada masa ini mengendalikan lebih 370 hotel di 43 negara dan empat benua di bawah jenamanya – Meliá, Gran Meliá, ME by Meliá, Paradisus, Innside by Meliá, TRYP by Wyndham, Sol Hotels dan Club Meliá.

EkoCheras dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.11 billion merupakan pembangunan bersepadu yang terdiri daripada lebih 1,500 unit kondominium dan pangsapuri perkhidmatan, pusat beli-belah, hotel dan pejabat.

— BERNAMA