Malaysia Dateline

Ahmad Lutfi Othman

Eksperimen politik Pas tanpa racuni pengikut, faham takfiri melampau

Saya telah mengulas persoalan kerjasama politik Pas-Umno ini sejak lama dan berulang kali. Kedua-dua parti Melayu ini “bermain mata” dan seterusnya “bermukah” sebelum PRU-14 lagi, tetapi menyembunyikan daripada pengetahuan ahli-ahli parti.

Ramai daripada pemimpin tertinggi Pas sebenarnya sudah cenderung untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno, terutama di negeri-negeri Selangor dan Perak seawal pasca-PRU2008 lagi.

Ketika itu berlaku tsunami politik yang menggemparkan tanahair apabila lima negeri (tidak termasuk Wilayah Persekutuan) jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PKR-DAP-Pas), sementara majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat telah dinafikan.

Umno berusaha gigih menjalin kerjasama tetapi dibantah keras oleh sekelompok pemimpin kanan Pas yang dilihat beraliran progresif, diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang pula dikatakan cenderung untuk bersetuju, malah mempelopori idea “kerajaan perpaduan” itu.

Dan daripada detik itulah bermulanya perpecahan serius dalam Pas, yang kemudiannya melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH). Sentimen perkauman dan keagamaan sempit dimainkan bagi menggambarkan kepentingan dan masa depan Melayu-Islam akan terabai-terpinggir di bawah Pakatan Rakyat.

Namun, pemimpin-pemimpin Pas yang sentiasa menghidu peluang untuk berkuasa bersama Umno itu, sentiasa menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mahu menjalin persefahaman dengan Umno, malah menyifatkannya sebagai tohmah-fitnah semata-mata.

Walaupun ketika itu saya sudah uzur teruk, tetapi masih tetap bertugas di Harakah dan sempat mendengar keluhan orang ramai, khususnya penyokong Pas.

Pas yang sentiasa menghidu peluang untuk berkuasa bersama Umno.

Mereka turut hairan dengan pendirian politik parti yang nampak mesra-Umno, tetapi dalam masa sama kritikal dengan rakan-rakan pembangkang lain, khususnya PKR dan DAP.

“Sudah terbalik, sepatutnya sebagai pembangkang, Pas bersikap kritis dan tegas dengan kerajaan dan perdana menteri, Najib Razak,” saya teringat luahan seorang veteran parti.

Hati kecil saya sering berbisik, kalau tidak kerana bimbangkan protes ahli dan bantahan pimpinan akar umbi, tentu sahaja Pas sudah membentuk kerjasama politik dengan Umno. Pas tertangguh untuk berbuat begitu sebelum PRU-14 kerana bimbang ditolak penyokong tradisi-tegar khususnya di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Melihat beberapa klip video khususnya pertemuan spontan Hadi dan Najib dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak, mereka begitu mesra berdakapan, nurani saya terjentik, “ia ibarat perjumpaan sahabat karib yang lama terpisah.”

Hadi juga mula mengemukakan konsep Pas sebagai penasihat kepada kerajaan. Selepas itu tiada lagi kritikan lantang-keras Pas terhadap isu-isu penyelewengan dan salahguna kuasa elit politik.

Selepas tumbangnya rejim BN dalam PRU-14 baru terdedah daripada pengakuan pemimpin tertinggi Pas dan Umno sendiri, bahawa berlakunya pertandingan tiga penjuru di antara BN-PH-Pas sebenarnya merupakan strategi yang dipilih Pas-Umno bagi mengekalkan pemerintah.

Bagaimanapun strategi yang bertujuan memecahkan undi tradisi pembangkang itu “makan tuan”; buat pertama kali sejak enam dasawarsa BN terlucut kuasa.

Ramai percaya, berdasarkan begitu ramai calon Pas yang bertanding, iaitu lebih 160 kerusi Parlimen, dengan belanja kempen yang begitu besar, parti itu dipercayai mendapat sokongan kewangan, secara langsung dan tidak langsung, daripada Umno.

Kita mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di belakang tabir tetapi melihat cepat (dan mudahnya) Muafakat Nasional dibentuk, serta kunjungan pimpinan tertinggi Pas ke kediaman Najib pada malam selepas sang kleptokrat itu dihukum bersalah oleh mahkamah, pastinya hubungan yang terjalin selama ini “luar biasa” hebatnya!

Sebenarnya eksperimen politik Pas ini bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh. Lazim bagi mana-mana parti politik membentuk gabungan baharu.

Pas boleh sahaja berkawan dan bersekutu dengan mana-mana parti, termasuk MCA, MIC dan PBS, tetapi janganlah meracuni pengikutnya dengan kebencian dan faham takfiri melampau.

Usah suburkan pendustaan dan pembohongan, apatah lagi atas kalimah agama. Jangan mudah sangat mengeluarkan “fatwa politik” melalui pentas-pentas pidato bersuara keras.

 

BERSAMBUNG