Malaysia Dateline

Eksploitasi dan pemusnahan kawasan hutan di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling membimbangkan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang apabila didapati dari semasa ke semasa kawasan berhutan di sepanjang kiri dan kanan Laluan B49, Persiaran Mokhtar Dahari, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Selangor (bekas Kompartmen 32, Hutan Simpan Bukit Cherakah dan kawasan berhampiran Tadahan Air Bukit Subang) diteroka dan dimusnahkan atas alasan untuk tujuan pembangunan.

SAM mempersoal justifikasi dan keperluan Pihak Berkuasa Negeri meluluskan kawasan berhutan tersebut untuk tujuan pembangunan sedangkan kawasan tersebut adalah antara kawasan semulajadi yang masih terdapat di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor.

Walaupun terdapat kawasan berhutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu Hutan Simpan Bukit Cherakah (HS Bukit Cherakah) di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor tetapi hutan simpan tersebut telah dimansuhkan sebahagian dari semasa ke semasa atas nama pembangunan.

Pengekalan kawasan berhutan sedia ada khususnya di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor dan di Lembah Kelang adalah amat penting kerana ianya berperanan untuk mengimbangi antara pembangunan fizikal dengan kawasan semulajadi.

Oleh kerana pembangunan fizikal terutama perubahan guna tanah kepada perbandaran begitu pesat di Lembah Kelang sedangkan zon hijau semakin berkurangan menyebabkan kadar pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat dan boleh memberi impak kepada kualiti kehidupan penduduk persekitaran.

Beberapa kejadian kemalangan jalan raya dan gangguan kepada manusia yang melibatkan haiwan-haiwan liar sebelum ini menunjukkan bahawa kawasan berhutan di Lembah Kelang terutama di luar kompleks hutan ‘Central Forest Spine’ Banjaran Titiwangsa yang telah menjadi ‘pulau hutan’ masih merupakan habitat terutama kepada haiwan-haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Kawasan berhutan di sepanjang kiri dan kanan Laluan B49, Persiaran Mokhtar Dahari, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling dan kawasan berdekatan Tadahan Air Bukit Subang berdepan ancaman kemusnahan.

Malah, cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor adalah bercanggah dan tidak selari dengan salah satu strategi utama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor iaitu mengekalkan HSK sedia ada dan meningkatkan keluasannya.

Cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor juga adalah bercanggah dengan matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu hendak mencapai lima juta hektar keluasan HSK daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia.

Disamping itu, cadangan memansuhkan sebahagian kawasan HSK di Selangor tidak selari dengan saranan Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan Belanjawan 2019 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu.

Malah, Kerajaan Negeri Selangor begitu bersungguh-sungguh dan beriltizam untuk terus menjaga khazanah alam serta warisan hijau supaya ia sentiasa terpelihara apabila menyatakan Selangor tidak boleh berasa selesa dengan jumlah semasa HSK meskipun melebihi 30 peratus daripada keluasan tanah negeri dan ia perlu diperluaskan.

Oleh kerana kebimbangan tersebut, SAM telah mengemukakan surat kepada Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Amirudin Shari bertarikh 11 Mac 2019 supaya mempertimbang untuk membatalkan eksploitasi dan pemusnahan kawasan berhutan di bekas Kompartmen 32, HS Bukit Cherakah serta kawasan berhutan lain di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor.

SAM hanya menerima surat maklum balas daripada Pejabat Menteri Besar Selangor yang ditandatangani oleh Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar bahawa telah memanjangkan kepada Pegawai Daerah dan Tanah Petaling untuk perhatian dan tindakan.

Tetapi dukacita, sehingga kini SAM masih belum menerima maklum balas daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Kawasan berhutan di bekas Kompartmen 32, HS Bukit Cherakah, Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor perlu diwartakan semula sebagai HSK agar keluasan HSK di negeri Selangor boleh dipertingkatkan dan mempunyai jaminan ‘security of tenure’.

*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM).