Malaysia Dateline

Ekspo HaSSel 2021 bantu wanita pasarkan produk

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud tampil dengan idea Karnival Maya bagi membantu usahanita khususnya dalam kalangan ibu tunggal dan suri rumah.

Usahanita ini akan memasarkan produk hasil tangan mereka melalui Ekspo HaSSel 2021 yang akan diadakan pada 24-28 April 2021 yang merupakan karnival maya pertama di Selangor.

Menurut Siti Mariah, idea karnival secara maya ini bertujuan untuk membangun sosio-ekonomi wanita ketika pandemik COVID-19.

“Kita merintis konsep ekspo dengan teknologi virtual realiti terkini di mana terdapat 100 gerai yang menghimpunkan usahawan wanita seluruh Selangor.

“Usahanita terutama ibu tunggal dan suri rumah akan menjual produk hasil tangan mereka, di samping membeli-belah serta para pengunjung turut sama membantu menyokong produk tempatan,” kata beliau.

Lebih menarik, katanya para pengunjung boleh membeli-belah, membuat pesanan secara atas talian dan tidak lagi perlu bersesak-sesak, terutama dalam situasi pandemik dan bulan Ramadan.

Beliau berkolaborasi dengan aplikasi e-dagang terbesar iaitu Shopee dan Lazada untuk mengadakan bengkel cara memulakan perniagaan bagi usahawan yang berminat.

“Ekspo ini turut memberi peluang kepada para usahawan mengembangkan perniagaan melalui taklimat pakej bantuan dana perniagaan dari agensi Kerajaan Negeri Selangor.

Selain itu, Dr Siti Mariah mahu lebih ramai wanita diperkasakan melalui program kemahiran.

Ekspo HaSSel menyediakan 56 bengkel kemahiran seperti masakan, kraftangan dan lain-lain secara percuma.

Bersempena ekspo ini, Dato’ Seri Dr Wan Azizah turut hadir bagi merasmikan Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021.

Persidangan ini menghimpunkan para sarjana dan pemikir yang akan membentangkan hasil penyelidikan tentang tema-tema berkenaan dengan wanita.

Orang ramai boleh mendaftar sekarang di laman web www.expohassel.com untuk berpeluang memenangi hadiah istimewa, 5 buah Iphone XR yang akan diberikan kepada pengunjung bertuah.