Eksport balak dihentikan, kata KM Sabah

Eksport balak dihentikan, kata KM Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah akan menghentikan pengeksportan balak buat sementara waktu bagi memastikan bekalan kayu-kayan untuk keperluan industri domestik mencukupi.

Katanya dengan penghentian eksport, industri kayu-kayan seperti perabut akan berkembang dan sekali gus akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Saya akan maklumkan kepada pihak perhutanan dan pihak berkuasa mengenai pengharaman sementara eksport balak ini sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai Yayasan Sabah di Menara Tun Mustapha hari ini.

Mengenai program taklimat berkenaan, Mohd Shafie berkata beliau turut menjelaskan kepada Yayasan Sabah mengenai hala tuju agensi penting kerajaan negeri itu berkenaan peranannnya dalam membangunkan modal insan dan kemahiran dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya hala tuju yang jelas perlu bagi memastikan kekayaan yang dimiliki Yayasan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah.

“Seperti yang saya sebutkan, Yayasan Sabah mempunyai sumber yang cukup dari segi bank tanah, sumber kayu-kayan, kelapa sawit namun ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Yayasan Sabah untuk menjadi hasil utama (agensi itu) tetapi tidak membabitkan Yayasan Sabah ini ke arah kegiatan yang tidak jelas.

“Atau mencebur diri dalam sesuatu bidang yang mereka tidak begitu biasa (kerana) mereka tidak punyai kepakaran, mereka tidak mempunyai keupayaan, kewangan tidak mencukupi untuk mereka menceburinya. Jadi risikonya tinggi. Kita akan kurangkan kegiatan seperti itu,” katanya.

Mengenai penyediaan biasiswa kepada pejabat-pelajar Sabah untuk melanjutkan pelajaran, Mohd Shafie berkata ia akan diteruskan dan beliau bersedia menimbangkan untuk menambah jumlah penerima biasiswa agensi itu bergantung kepada kemampuan Yayasan Sabah sendiri.

Mengulas lanjut mengenai taklimat yang diterimanya hari ini, Mohd Shafie berkata beliau belum berpuas hati sepenuhnya dengan taklimat itu dan mahu agensi itu memberinya taklimat lanjut selepas ini.

“Saya mahukan taklimat lanjut. Sebab apa yang berlaku di lapangan ia tidak melambangkan seperti yang dijelaskan kepada kami (dalam taklimat),” katanya.

Mengenai pemberian bonus melalui Amanah Saham Sabah kepada rakyat, Mohd Shafie berkata beliau lebih suka menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat kerana ia lebih mapan berbanding bonus.

8.0
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 9.0