Eksport barang buatan Malaysia, saran Prof Dr Jomo

Eksport barang buatan Malaysia, saran Prof Dr Jomo

Pakar ekonomi pembangunan terkemuka Asia Tenggara, Prof Dr Jomo K.S. berpendapat Malaysia perlu maju ke hadapan di peringkat dunia dalam beberapa bidang lain selepas terbukti maju dalam industri penapisan mintak sawit dan pembuatan sarung tangan getah sejak tahun 1980-an dan 1990-an.

Menurutnya, penting untuk kerajaan pada masa ini memikirkan semula dasar pembangunan dan perindustrian, terutamanya untuk mengeksport barang buatan Malaysia, bukan hanya menyertai rantaian nilai yang dikuasai pelabur asing gergasi.

“Oleh itu, penting untuk kita mengasah kemampuan wakil Malaysia untuk berunding dalam memeterai perjanjian perdagangan yang akan lebih mendukung hasrat kemajuan teknologi.

“Contohnya, kontrak Proton dengan Geely hanya bertujuan untuk menjual kereta Geely di pasaran Asean, terutamanya di Malaysia.

“Selain bateri kereta elektrik, Proton sepatutnya meminta pasaran kereta enjin sederhana (misalnya, 1.2-1.6 liter) pemanduan sebelah kanan bagi seluruh dunia, terutamanya di negara Komanwel dan juga Jepun,” dipetik dari wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Anggota Penasihat Kerajaan PH itu berkata, Malaysia mengalami kemunduran perindustrian terlalu awal kerana mengabaikan persoalan utama iaitu sumber pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan kemajuan sejak awal abad ini.

Ditanya tentang langkah-langkah kerajaan bagi merapatkan jurang pendapatan, Jomo berpendapat hal itu dapat dicapai sekiranya agihan pendapatan berasaskan sumbangan kerja masing-masing menjadi kenyataan.

“Maka mereka yang kurang bernasib baik dapat dibantu, hanya sedikit lagi usaha pengagihan semula melalui pindahan diperlukan,” ujar Jomo lagi.