Eksport barangan halal akan capai RM50 bilion tahun ini

Eksport barangan halal akan capai RM50 bilion tahun ini

Malaysia menyasarkan eksport barangan halal mencapai RM50 bilion tahun ini berbanding sasaran tahun lepas sebanyak RM40 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata setakat September 2015, nilai eksport barangan halal sebanyak RM31.1 bilion, meningkat 27 peratus dari setahun sebelumnya.

Justeru itu, beliau yakin sasaran RM40 bilion pada 2015 dapat dicapai.

Lima pasaran utama bagi eksport barangan halal Malaysia tahun lepas ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Belanda, katanya kepada pemberita selepas melawat Dewina Food Industries Sdn Bhd, pembuat makanan halal jenama Brahim’s di Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.

Enam segmen utama barangan halal adalah makanan dan minuman, ramuan halal, derivatif minyak sawit, kosmetik dan penjagaan peribadi, bahan kimia industri serta farmaseutikal, katanya.

Ahmad berkata setakat Disember 2014, terdapat 5,415 syarikat yang memperoleh perakuan halal, meningkat 30.5 peratus daripada 4,443 syarikat pada 2013.

Daripada jumlah itu, 1,841 atau 34 peratus adalah syarikat bumiputera, katanya.

“Saya menggesa supaya lebih banyak syarikat bumiputera memperoleh persijilan halal memandangkan halal dan umat Islam adalah sangat berkait rapat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Datuk Seri Jamil Bidin berkata eksport halal menyumbang kira-kira lima peratus kepada eksport keseluruhan setakat September tahun lepas.

Sementara itu, Ahmad memberi jaminan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik tidak akan menjejaskan industri halal memandangkan terdapat klausa dalam perjanjian itu yang mengiktiraf indsutri berkenaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Ini meletakkan industri halal Malaysia di kedudukan yang baik pada masa depan,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Datuk Ibrahim Ahmad.

CATEGORIES