Buah-buahan tempatan di negara ini yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, dilihat memberi satu kitaran ekonomi yang cukup baik kepada negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kejayaan menembusi pasaran antarabangsa dengan memperkenalkan buah-buahan tempatan secara tidak langsung meningkatkan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Nanas kita MD2 diterima di China, yang varieti Josapin dan Moris pula telah berjaya menembusi ke pasaran Timur Tengah. Durian Musang King (termasuk kulit) juga sudah masuk ke pasaran China.
“Ini membuktikan buah-buahan tempatan di Malaysia ini sememangnya berkualiti dan digemari di pasaran antarabangsa.
“Namun isunya sekarang adalah tidak cukup bekalan (supply), tetapi bagi menangani perkara tersebut, kita akan menyediakan usahawan muda yang baru untuk masuk dan memenuhi keperluan ini, katanya dalam Soal Rakyat, malam tadi.
Memetik laporan media tempatan pada 17 Jun lalu, MOA menjangkakan sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik durian sejuk beku Malaysia akan menembusi pasaran China pada setiap bulan.
Salahuddin berkata hasil eksport itu dijangka memberi nilaian kepada sumbangan eksport negara kira-kira RM500 juta setahun.
Menurutnya, protokol pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji telah ditandatangani pada 20 Ogos tahun lepas di Beijing, China.
Katanya, usaha Malaysia untuk menembusi pasaran China bagi buah durian bermula sejak 2007 dan hasil rundingan antara kedua-dua negara, Malaysia akhirnya berjaya mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes pada Mei 2011.
Nilai eksport pada tahun lepas dalam bentuk ulas dan pes ke China adalah RM9.445 juta atau 235.62 tan metrik.