Malaysia Dateline

Eksport Malaysia akan berkembang 1.5 peratus pada 2020

Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan eksport sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun pada 2020 disokong oleh sektor berasaskan komoditi, menurut ahli ekonomi di beberapa bank pelaburan.

Pakar Ekonomi RHB Research, Ahmad Nazmi Idrus berkata berkata angka-angka terkini mungkin kelihatan bahawa dagangan boleh mencapai paras terendah dan ia akan melantun semula.

Beliau berkata sokongan itu datang daripada harga minyak sawit yang lebih baik dalam beberapa bulan lepas dan permintaan dari bukan elektrik dan elektronik, serta produk bukan komoditi seperti yang ditunjukkan dalam data indeks aktiviti pembelian (PMI) pada bulan Disember, 2019.

“Melangkah ke depan, kami menjangkakan pertumbuhan eksport kekal sekitar 1.5 peratus bagi 2020, dengan kemungkinan semakan peningkatan sekiranya corak pemulihan berterusan,” katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu masih berwaspada terhadap kelemahan tertentu, terutamanya dengan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China dan Amerika Syarikat.

Jumlah dagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif pada Disember 2019 pada 1.9 peratus tahun lepas, mengakhiri penguncupan bagi tempoh enam bulan memandangkan kedua-dua eksport dan import meningkat.

Eksport pada bulan Disember 2019 meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun selepas pertumbuhan negatif empat bulan berturut-turut, manakala import melonjak dengan ketara sebanyak 0.9 peratus tahun selepas dua bulan penurunan.

Bagi tahun penuh 2019, jumlah dagangan turun sebanyak 2.5 peratus tahun ke tahun, manakala eksport menurun sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun.

“Bagi 2020, kami mengunjurkan pertumbuhan eksport untuk pulih sebanyak 1.5 peratus setahun,” kata MIDF Research dalam prospek ekonominya.

Ia berkata sektor berasaskan komoditi terutamanya eksport gas cecair asli diunjurkan akan mencatat prestasi yang baik terutamanya dengan kemudahan Gas Asli Cecair Terapung 2 Petronas dijangka beroperasi tahun ini.

Firma penyelidikan itu juga mengatakan bahawa ketidakpastian terhadap perang perdagangan dan kehilangan momentum pertumbuhan dalam sesetengah ekonomi utama akan terus mempengaruhi prestasi eksport, dengan faktor risiko lain iaitu penularan novel koronavirus 2019.

Sementara itu, ahli ekonomi JP Morgan, Nur Raisah Rasid berkata kesan makro yang berpotensi daripada koronavirus akan membuka ruang untuk pelonggaran dasar pada suku kedua tahun ini.

“Walaupun kami menjangkakan Bank Negara Malaysia akan kekal bertahan hingga 2020 dan mengkaji data sebelum mengambil tindakan selanjutrnya berikutan langkah pelonggaran dasar bulan lepas, kejatuhan makroekonomi susulan penularan koronavirus menimbulkan kecenderungan untuk pelonggaran dasar.

“Oleh itu, kami menjangkakan pelonggaran dasar sebanyak 25 mata asas pada suku kedua untuk menangani kesan pertumbuhan yang berpotensi berikutan penularan koronavirus ketika ini,” katanya dalam nota penyelidikan.– BERNAMA