Eksport peranti perubatan disasar lebih RM23 bilion

Eksport peranti perubatan disasar lebih RM23 bilion

Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) menyasarkan eksport peranti perubatan dari Malaysia mencatat angka pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.0 peratus dan melepasi RM23 bilion pada 2019.

Hasil kaji selidik terbaharu persatuan itu mendapati 50 peratus ahlinya optimis terhadap angka pertumbuhan itu dan Malaysia akan terus pesat sebagai hab pengeluaran peranti perubatan dengan lebih 200 syarikat pengeluar dapat berkembang dalam ekosistem industri yang baik.

“Pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan itu juga dijangka memberi impak positif terhadap Malaysia,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi AMMI, Christophe Marque berkata jumlah jualan eksport ahli AMMI meningkat kepada RM11.4 bilion berbanding RM9.7 bilion pada tahun lepas.

“Ini mengatasi kebanyakan indeks global dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang baik sebanyak 16 peratus bagi tempoh antara 2013 dan 2017,” katanya.

AMMI berkata Laporan Prospek dan Status Peranti Industri Perubatan 2018/2019 keluarannya yang berdasarkan tinjauan dalam kalangan 46 ahli, menunjukkan 74 peratus daripada mereka mempunyai perancangan pengembangan masa depan yang membabitkan bangunan, mesin, kelengkapan, fasiliti dan kemudahan pengeluaran.

Nilai gabungan pelan pengembangan masa depan itu adalah kira-kira RM1.5 bilion,

— BERNAMA