Ekstradisi pembunuh Altantuya masih di peringkat rundingan

Ekstradisi pembunuh Altantuya masih di peringkat rundingan

Proses rundingan untuk membawa pulang Koperal Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia melalui proses ekstradisi masih di peringkat rundingan dengan semua pihak yang terlibat, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu permintaan ekstradisi itu tidak dikendalikan oleh KDN secara bersendirian, sebaliknya melibatkan perbincangan dalaman dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar.

“Ia mesti dibuat melalui saluran diplomatik dan perlu dikemukakan bersama-sama dokumen-dokumen yang berkaitan dengan tertuduh seperti maklumat pengenalan tertuduh dan dokumen mengenai pertuduhan dan fakta kes,” menurut KDN dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) semalam.

Lim bertanya sama ada PDRM telah menyiasat dakwaan Sirul Azhar, yang juga bekas komando polis itu berkaitan lima individu yang cuba merasuah dan memujuk beliau mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan status terkini ekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.

KDN dalam jawapan itu menyatakan permintaan ekstradisi hanya boleh dibuat bagi kes-kes yang boleh diekstradisi dan memenuhi kehendak ‘dual criminality’ iaitu kes mestilah dianggap sebagai kes jenayah di kedua-dua negara dan hukuman bagi kesalahan tersebut di kedua-dua negara mestilah tidak kurang daripada satu tahun pemenjaraan.

“Memandangkan kes Sirul Azhar telah mendapat liputan media antarabangsa yang luas termasuk hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya, adalah difahamkan bahawa pengusiran Sirul Azhar ke Malaysia bertentangan dengan dasar Australia yang tidak menyokong hukuman mati,” menurut jawapan itu.

Dalam pada itu, KDN berkata siasatan terhadap laporan portal Malaysiakini pada 12 Feb lepas berhubung pendedahan Sirul Azhar berkaitan lima individu yang cuba merasuah atau memujuk beliau mengaitkan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya masih berlangsung.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 120B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan. Siasatan kes ini masih diteruskan,” menurut KDN.

TAGS