Malaysia Dateline

Ekstradisi rakyat ke US: Korea Utara putus hubungan diplomatik dengan Malaysia

Korea Utara hari ini mengumumkan telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Langkah itu diambil selepas Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara yang menetap di sini, ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan rasmi berkata, Malaysia telah melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’ kerana menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS dengan cara paksaan.

“Kementerian Luar Korea Utara dengan ini memutuskan untuk menghentikan semua hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang telah melakukan tindakan bermusuhan terhadap Korea Utara, atas tekanan Amerika Syarikat.

“Pada waktu ini, pihak berkuasa Malaysia akan menanggung tanggungjawab penuh terhadap kesemua akibat yang bakal berlaku antara dua negara ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada 3 Mac lalu, seorang rakyat negara itu yang dikenali sebagai Mun Chol Myong gagal dalam rayuannya di mahkamah Malaysia untuk mengelak diekstradisi ke AS atas dakwaan melakukan penggubahan wang haram.

Lelaki itu yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan ekstradisi dari Washington.

Sementara itu, Kementerian Luar Korea Utara berkata, Washington turut akan menanggung akibat perbuatannya.