Malaysia Dateline

Ekstremis berpunca daripada politik yang fanatik

Memfokuskan isu ekstremisme dari konteks masyarakat Islam dalam negara, Pengarah Syura, Datuk Abdul Ghani Shamsuddin menyentuh tentang pemahaman politik yang ‘disalahfaham’ menjadi antara penyumbang kepada pembentukan kumpulan dan pemikiran ekstremis.

Abdul Ghani malah menzahirkan kebimbangan terhadap sesetengah pendidik yang tidak menyebarkan pemikiran rasional dan sebaliknya terus menerap fahaman politik fanatik sehingga memusuhi sesama Islam.

Jelasnya, sekiranya pendidikan disebar oleh mereka yang mempunyai fahaman politik ‘totok’, ia boleh menimbulkan kebencian terhadap mereka yang mempunyai perbezaan parti sehingga mendorong wujudnya unsur ekstremis.

“Kesan politik yang terlalu fanatik dan kemelayuan liberalisme itu akan menyebabkan timbulnya pengaruh ekstremis yang meresap dan bertambah buruk dalam masyarakat.

Sebahagian mereka yang hadir pada sesi yang membincangkan tentang Bencana Sifat Ghuluw dan Ekstremis dalam Masyarakat, di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, hari ini.

“Ini secara tak langsung memaparkan masalah kekeliruan yang semakin parah. Saya simpati bila adanya individu yang digelar pengajar, tetapi fanatik dan melihat penuh kebencian terhadap orang lain.

“Ini juga membayangkan kegagalan kerajaan sebelum ini dalam membentuk guru-guru rasional dan bijak memahami perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membincangkan tentang Bencana Sifat Ghuluw dan Ekstremis dalam Masyarakat, di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Penasihat Umum AMANAH itu juga berkata, kumpulan yang mahu mengembalikan pemerintah terdahulu sebagai kerajaan adalah indikasi bahawa sedang berlakunya kekeliruan pemikiran dalam masyarakat.

“Saya fikir bila mereka membenci pemerintah yang dipilih rakyat dan menginginkan untuk mengembalikan pemerintah yang lama dan teruk, maknanya satu kekeliruan pemikiran sedang berlaku.

“Apabila pemikiran keliru merakyat sehingga akhirnya rakyat menolak solusi reformasi dan mahu mengekalkan sistem bobrok mencuri wang berbilion, ini bermakna kita sedang menuju ‘bunuh diri’,” tegasnya lagi.

Justeru katanya, golongan ilmuwan perlu menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku dalam Malaysia dengan kupasan Islam mengikut pendalilan syarak, untuk mencegah bibit-bibit ekstremis terus merebak dalam masyarakat.

“Kalau kita berperanan dengan lebih yakin dan bertanggungjawab saya rasa kita dapat atasi isu ini dengan lebih baik

“Kita perlu betulkan isu pendidikan, guru-guru perlu dilatih untuk menjadi guru yang matang dan bertanggungjawab,” ujarnya.