Malaysia Dateline

Ekuinas lancar dana RM1bilion untuk galakkan perniagaan tempatan

Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) melancarkan Fund Ekuinas Direct (Tranche IV) yang juga dikenali sebagai Fund IV bernilai RM1 bilion dan berkemungkinan ditingkatkan kepada RM1.5 bilion yang sedia digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan tempatan dan berpotensi tinggi.

Ekuinas berkata dana itu akan bertumpu pada Malaysia, dengan penekanan terhadap sektor teras seperti pendidikan, minyak dan gas, barangan pengguna laris, peruncitan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan dan juga sektor lain dengan prospek yang positif.

“Berikutan penutupan dana sulungnya, Dana Ekuinas Direct (Tranche I), Ekuinas telah berjaya meraih RM2.3 bilion daripada hasil jualan, dividen dan faedah, yang digunakan untuk menubuhkan dana baharu ini.

“Ini menjadikan jumlah dana di bawah pengurusan Ekuinas sebanyak RM4.1 bilion,” kata syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu di dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata pelancaran dana keempatnya itu selaras dengan strategi dan rancangan peniagaannya untuk fasa seterusnya.

“Bajet 2019 dilihat sebagai mempermudah dan mesra perniagaan dan tumpuan kukuh terhadap usaha memacu revolusi perindustrian keempat.

“Usaha kerajaan untuk menggalakkan kerjasama dan perdagangan antara negara Aseanjuga mewujudkan persekitaran perniagaan serantau dinamik, yang akan memberi kesan positif terhadap syarikat dan juga ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata syarikat melihat pemangkin ini sebagai faktor yang akan menyokong kadar pertumbuhan di Malaysia pada 2019.

Ekuinas akan terus berusaha untuk melaksanakan mandat dalam memperkasa syarikat berpotensi tinggi Malaysia dengan membina asas kukuh bagi memacu pertumbuhan seterusnya sambil menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia secara lebih meluas.-BERNAMA.