Ekuiti, penyumbang utama pendapatan pada 2018

Ekuiti, penyumbang utama pendapatan pada 2018
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengumumkan kadar dividen pada 2018 hari ini, berkata  ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan pada 57.55 peratus sebanyak RM29.28 bilion, walaupun mengalami penurunan sebanyak 6.96 peratus berbanding RM31.47 bilion pada 2017.

Kelas aset ini terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pulangan keseluruhan portfolio pelaburan KWSP.

Pelaburan KWSP dalam instrumen pendapatan tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf dan Bon & Pinjaman, secara keseluruhannya menyumbang 36.13 peratus atau RM18.38 bilion, daripada RM50.88 bilion pendapatan pelaburan untuk tahun yang dikaji, kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman dalam kenyataan hari ini.

KWSP hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion; dan 5.90 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Beliau berkata bon dan pinjaman terus menyumbang pendapatan yang stabil melalui penerimaan bayaran kupon berjadual, walaupun keuntungan modal daripada kelas aset ini menurun akibat kenaikan kadar pulangan pasaran berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu.

Hartanah dan infrastruktur menyumbang RM2.10 bilion kepada pendapatan pelaburan pada 2018, jatuh 29.29 pertaus berbanding 2017, manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM1.12 bilion pendapatan pelaburan dalam 2018.

Samsudin berkata pulangan atas pelaburan (ROI) bagi kelas aset hartanah dan infrastruktur dicatat lebih rendah berikutan pencapaian pada tahun 2017 yang didorong oleh transaksi yang unik kepada tahun tersebut.

Kelas aset ini menyumbang lebih lapan peratus setiap tahun sejak lima tahun yang lepas, iaitu premium sebanyak 3.29 peratus berbanding instrumen pendapatan tetap.

Pelaburan luar negara yang merangkumi pelbagai kelas aset menyumbang 37.52% kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan kejatuhan harga ekuiti sedunia dan serantau serta ketidaktentuan pertukaran mata wang asing.

Bagaimanapun, pelaburan luar negara pada tahun 2018 bertindak sebagai penambah nilai kepada keseluruhan portfolio KWSP serta mengurangkan impak akibat ketidaktentuan yang dialami oleh beberapa pasaran sepanjang tahun tersebut.

Sementara itu, KWSP kekal mengamalkan perbelanjaan yang berhemat dan ini dibuktikan oleh nisbah kewangan utamanya yang sentiasa konsisten, termasuk kos kepada aset di bawah pengurusan sebanyak 0.27 peratus, kos kepada pendapatan kasar pada 4.24 peratus dan kos kepada jumlah aset pada 0.17 peratus.

Mengulas mengenai prospek pelaburan, Samsudin berkata, “Ketidaktentuan dalam pasaran global mungkin akan berterusan berikutan perang dagang AS-China.

“Kami juga bersiap sedia untuk menghadapi faktor luaran yang lain seperti Brexit, kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah AS.

“Walau bagaimanapun, kami kekal komited terhadap strategi diversifikasi global jangka panjang dengan berpandukan Alokasi Aset Strategik. Strategi ini terbukti berkesan terutamanya semasa pasaran yang tidak menentu, sekaligus melengkapkan kami dengan keupayaan untuk mengatasi sebarang ketidakstabilan jangka masa pendek.

Ahli boleh menyemak penyata akaun KWSP untuk pengkreditan dividen 2018 bermula Ahad, 17 Feb 2019, melalui i-Akaun atau laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Aplikasi mudah alih i-Akaun boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store.

— BERNAMA