El Nino: Paras air di tujuh empangan semakin kritikal

El Nino: Paras air di tujuh empangan semakin kritikal

Cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino menyebabkan paras air di tujuh empangan di seluruh negara semakin kritikal dengan baki air berada pada paras di bawah 50 peratus, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tujuh empangan berkenaan ialah Empangan Bukit Kwong, Kelantan (6.9 peratus), Empangan Labong, Johor (12.4 peratus), Empangan Bukit Merah, Perak (20.2 peratus), Empangan Beris, Kedah (25.9 peratus), Empangan Timah Tasoh, Perlis (27.6 peratus), Empangan Muda, Kedah (30.4 peratus) dan Empangan Padang Saga, Kedah (33.9 peratus).

Beliau berkata Empangan Bukit Merah di Perak hanya mampu menampung bekalan air orang ramai kurang daripada sebulan sekiranya tiada hujan.

Selain itu, Empangan Timah Tasoh dan Empangan Padang Saga masing-masing mampu bertahan sebulan tanpa hujan manakala Empangan Labong dan Empangan Beris masing-masing mampu bertahan tiga bulan tanpa hujan.

Wan Junaidi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Pengawalan Hakisan Pantai dan Pemuliharaan Muara Sungai Buntal di Kampung Sungai Buntal, Santubong, kira-kira 25 kilometer semalam.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Bagaimanapun, Wan Junaidi tidak menyatakan tempoh Empangan Bukit Kwong dan Empangan Muda dapat bertahan tanpa hujan, bagi membekalkan air kepada pengguna.

Justeru itu, beliau menggesa rakyat supaya berjimat dalam penggunaan air khususnya pada musim panas ketika ini.

Menurutnya penurunan paras air di empangan-empangan utama itu bukan sahaja menjejaskan permintaan bekalan bagi pengguna domestik malah kepada sektor pertanian dan industri.

Ditanya sama ada proses pengepaman air bawah tanah dapat dibuat bagi menampung permintaan bagi sektor pertanian, beliau berkata, buat masa ini ia sukar dilakukan dan boleh mendatangkan implikasi lebih besar terhadap alam sekitar termasuk kekurangan air dalam tasik.

TAGS