Elak anak tempatan Sabah berhijrah tinggalkan kampung, budaya

Elak anak tempatan Sabah berhijrah tinggalkan kampung, budaya

Sistem pendidikan di sekolah bagi Orang Asal perlu mendekatkan mereka dengan realiti persekitaran masyarakat itu, kata Pengarah Kepimpinan Pemuda AMANAH Sabah, Addy Samsuddin.

Menurutnya, penekanan tersebut lebih penting untuk dilaksanakan berbanding cadangan menteri mahu mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris.

Addy Samsuddin

Mengulas syor Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkenaan baru-baru ini, beliau berkata, Ahli Parlimen Kota Belud itu perlu bersikap celik budaya.

“Orang Asal biar dekat dengan alam semula jadi. Usah didik mereka untuk keluar dari kampung. Belajar bahasa ibunda seperti bahasa Kadazan, Dusun, Bajau dan lain-lain.

“Bahasa tempatan inilah mesti dimasukkan dalam kurikulum. Menteri usah campur tangan menekankan pembelajaran bahasa Inggeris sedangkan bahasa ibunda sendiri belum fasih,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Koordinator Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations Democracy Fund (UNDEF), Pacos itu bimbang lebih banyak bahasa milik etnik di Sabah akan lenyap dalam jangka panjang jika penekanan kepada pengajaran bahasa ibunda diabaikan.

“Kalau kita masuk kampung-kampung di Sabah sekarang, sedikit benar anak-anak yang fasih bertutur dalam bahasa mereka sedangkan bahasa itu identiti budaya masing-masing yang mesti dipupuk dan diamalkan.

Penguasaan ilmu dan bahasa tempatan perlu diutamakan berbanding berbanding mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris.

“Biarlah bahasa ibunda mereka turut sama diperkasakan manakala pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bahasa Inggeris pula ditambah baik.

“Paling penting juga prasarana di sekolah kawasan luar bandar dan pedalaman perlu lengkap bukannya terburu-buru membina sekolah aliran Inggeris,” ujarnya.

Hamba

Addy turut menyifatkan pendidikan secara menyeluruh dengan mengambil kira latar kerencaman kekayaan budaya masyarakat Orang Asal pada masa sama dapat mengekang penghijrahan belia komuniti itu.

Jelasnya, masalah golongan muda meninggalkan kampung halaman akibat sistem pendidikan yang tanpa sedar menjauhkan mereka daripada meneruskan nilai budaya tempatan semakin meruncing.

Antara bangunan yang digunakan oleh sebuah sekolah di pendalaman Sabah.

“Pendidikan di Malaysia bersifat ‘pukul rata’, belajar untuk lepas peperiksaan sedangkan di kawasan pedalaman, hadir ke sekolah pun payah.

“Orang Asal sepatutnya belajar lebih dekat dengan alam persekitarannya supaya mereka akan tinggal dan memajukan kampung masing-masing.

“Pendidikan formal perlu diimbangi dengan pendidikan informal dengan mengajak orang kampung terus tinggal di kampung, bangun dan keluarkan produk, guna tenaga maksimum pada masa muda di kampung,” katanya.

Menurut Ketua Biro Kebajikan dan Keselamatan Pemuda Pakatan Harapan Sabah itu, hanya dengan sistem pendidikan tersebut dapat mengelak masalah migrasi keluar belia Orang Asal ke bandar mahupun Semenanjung.

“Kita sangat kecewa pendidikan tidak lagi menjadikan belia tinggal di kampung. Belia Orang Asal tidak mahu lagi bercucuk tanam tapi mencari kerja di bandar dan Semenanjung.

“Kami banyak masuk ke kampung dan pedalaman mendapati belia berumur 19 hingga 29 tahun yang dianggap paling produktif dalam memajukan ekonomi sangat kurang.

“Rata-rata belia kita takut dianggap miskin jika terus tinggal di kampung walhal, berhijrah bukan menjadi tuan tapi hamba kepada tauke sedangkan di kampung bangunkan tanah sendiri, mereka jadi bos,” hujah Addy lagi.

8.3
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 8.0
CATEGORIES