Malaysia Dateline

Elak bentuk kerajaan umpan jawatan, Muhyiddin tidak salah kembali sertai Umno

Mendengar klip audio seseorang yang bercakap dalam satu mesyuarat parti bagaimana kaedah untuk memastikan Ahli Parlimen (MP) Umno bersama membentuk kerajaan. Harapan saya semoga ia adalah rekaan semata-mata kerana perkara yang disebut dalam mesyuarat itu sangat tidak bertangungjawab.

Malaysia sejak dari merdeka sehinggalah sekarang mengamalkan demokrasi berperlembagaan. Pilihanraya dijadikan medan untuk rakyat menilai sejauh mana parti pemerintah membawa negara.

Terbentuknya kerajaan Persekutuan melalui pilihanraya. Ini adalah sistem yang telah Malaysia amalkan sekian lama. Baik buruk sesebuah parti pemerintah itu diukur ketika pilihanraya umum.

Jika rakyat masih yakin dengan kerajaan yang sedia ada maka undi rakyat tetap akan kepada parti itu sepertimana rakyat percaya kepada Umno-BN sejak 60 tahun lebih lamanya. Begitu juga dengan kerajaan negeri. Puluhan tahun BN mentadbir kerajaan negeri . Begitu juga Pas yang agak lama mentadbir negeri kelantan.

Ini amalan biasa yang diamalkan bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara luar yang mengamalkan sistem demokrasi. Sebaliknya jika rakyat merasakan hala tuju negara semakin samar, berlaku salah guna kuasa dan rasuah sehingga menyebabkan negara tidak stabil maka rakyat akan membuat keputusan untuk menukar parti pemerintah melalui saluran pilihanraya.

Hal ini berlaku hampir kesemua negeri dan berlaku juga ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lepas dimana kerajaan Persekutuan beralih kepada Pakatan Harapan (PH).

Namun, Februari lalu menyaksikan satu insiden yang merubah segalanya. Sistem demokrasi dicabuli sehingga terbentuknya kerajaan tanpa pilihanraya.

Amalan biasa rakyat akan memberi mandat membentuk kerajaan kepada mana-mana parti politik melalui saluran pilihan raya tetapi pembentukan kerajaan yang dikenali Perikatan Nasional (PN) ini terbentuk melalui mandat Ahli Parlimen sahaja. Akhirnya, kerajaan yang dipilih melalui proses pilihan raya menjadi pembangkang manakala parti yang ditolak rakyat menjadi kerajaan!

Apabila berbicara berkenaan pembentukan kerajaan, Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugasnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Mana-mana pihak yang boleh membuktikan mempunyai majoriti Dewan Rakyat dan Tuanku merasakan seseorang yang layak untuk menjadi Perdana Menteri akan dilantik dalam kalangan mereka yang ada majoriti.

Tuanku Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dengan proses pilihan raya. Apatah lagi baginda sama sekali tidak terlibat dalam pembentukan kerajaan menggunakan kaedah mandat sesama ahli Parlimen. Tuanku telah menjalankan tugasnya mengikut saluran Perlembagaan. Sangat tidak patut mengheret Yang di-Pertuan Agong di dalam konflik ini.

Apabila terbentuknya kerajaan mandat Ahli Parlimen, kepelikan berlaku apabila Umno dan Pas yang kalah ketika pilihan raya boleh bersama dengan pemimpin parti yang menang. Apakah mereka yang sudah lama di tampuk pemerintahan dijatuhkan tidak merasa sekelumit pun untuk kembali berkuasa dan menewaskan mereka yang telah menjadi punca mereka itu kalah?

Persoalannya lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih sebagai Perdana Menteri boleh mempercayai BN dan Pas untuk bersamanya. Pasti ada satu ikatan antara parti-parti yang membentuk PN ini. Rapuhnya hubungan antara gabungan parti PN ini menuntut kepada satu ikatan kuat agar hubungan antara mereka yang terlibat diikat kemas.

Apakah bentuk ikatan itu? Pilihan yang ada ialah dengan menawarkan sesuatu yang memuaskan hati semua yang terlibat. Seperti yang dinyatakan di dalam rakaman audio itu jawatanlah pengikat mereka. Saya masih mengharapkan rakaman audio itu palsu.

Tetapi pada masa yang sama apa yang diperkatakan itu ada logiknya. Jawatan dijadikan tali pengikat agar kerajaan yang ditubuhkan ini dapat bertahan. Umno-BN dan Pas pasti lega kerana walaupun kalah pilihan raya, mereka boleh menjadi kerajaan dan musuh politik mereka yang menang ketika pilihan raya jatuh dan menjadi pembangkang.

Jika benarlah seperti apa yang dikatakan dalam rakaman audio itu, implikasinya kepada sistem demokrasi negara telah dirosakkan. Jawatan penting kerajaan dijadikan taruhan bukan lagi rakyat yang dipedulikan. Bagaimana rakyat boleh percaya kepada gabungan parti yang mereka sendiri tidak undi?

Lantikan jawatan penting kerajaan ini juga tidak dibuat atas dasar kredibiliti dan kemampuan seseorang. Hanya diberi untuk sesiapa sahaja asalkan bersetuju untuk bersama membentuk kerajaan.

Nasib negara diperjudikan dan pemilihan menteri dan lantikan penting kerajaan dibuat hanya untuk memuaskan hati mereka yang terlibat. Bahayanya kepada negara walaupun hak melantik jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  ini adalah hak Perdana menteri.

Andaikata Umno dan Pas sangat percaya kepada kepimpinan Muhyiddin, mereka tidak perlu kepada lantikan jawatan kerajaan dan Muhyiddin jika percaya kepada sokongan Umno dan Pas ini tidak berbelah bagi di atas kredibiliti kepimpinannya, dia tidak perlu melantik sebanyak mungkin MP yang menyokongnya ke jawatan kerajaan.

Lihat bagaimana besar skala Kabinet menteri dan timbalan menteri sedangkan Malaysia hanya mempunyai 33 juta rakyat Malaysia berbanding negara lain seperti Indonesia yang mempunyai 250 juta rakyat dan skala Kabinetnya tidaklah sebesar mana.

Jika Muhyiddin berasa sangsi dengan sokongan Umno dan Pas kepadanya, apa salahnya beliau kembali menyertai Umno atau Pas dan itu langkah terbaik untuk mendapatkan sokongan mutlak dari kedua-dua parti itu.

Saya masih tidak percaya kepada rakaman audio itu tetapi pada masa yang sama apa yang diperkatakan dalam rakaman audio itu ada logiknya sebagai formula tawaran memikat dan mengikat mereka yang terlibat dengan pembentukan kerajaan mandat Ahli Parlimen ini.

Moga kontroversi rakaman audio itu ditinggalkan sebagai kenangan dan jika ia menjadi realiti maka ia suatu yang tidak seharusnya berlaku. Pihak yang berwajib harus menyiasat klip rakaman audio tersebut agar si pembuatnya dihadapkan ke muka pengadilan dan kesahihan rakaman audio itu dapat disahkan.

Sudahlah mandat dan hak rakyat telah dinafikan kini rakyat dipaksa mendengar klip audio rakaman dan ia menambahkan keresahan dihati setiap rakyat apakah kerajaan PN ini benar-benar berfungsi sebagai sebuah kerajaan atau hanya untuk mencapai cita-cita politik individu tertentu.