Elak buka ‘Cameron Highlands’ baru, NGO seru Perak guna tanah sedia ada

Elak buka ‘Cameron Highlands’ baru, NGO seru Perak guna tanah sedia ada

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menyeru kerajaan negeri Perak supaya menggunakan tanah yang sudah diteroka untuk projek pertanian bukannya membuka kawasan tanah tinggi bagi tujuan tersebut.

Presidennya, Hafizzuddin Nasarudin berkata, kawasan tanah sedia ada yang miskin, terbiar dan tidak sensitif perlu dimaksimumkan terlebih dahulu berbanding memilih tanah tinggi yang berisiko sekali gus tidak selari dengan dasar kerajaan.

“Perak mahu buka ‘Cameron Highlands’ yang baru di jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands atas alasan menampung keperluan makanan (sayur-sayuran) negara.

“Projek/tanah ini hakmilik Perbadanan Pertanian Negeri Perak dan di’sub’kan kepada Syarikat Agroto Business Sdn Bhd.

“Namun, sepanjang pemerhatian kami, projek-projek Perbadanan Pertanian Negeri sebelum ini banyak yang tidak berjalan baik.

“Misalnya, lihat projek pertanian di kawasan bekas lombong berdekatan Kinta Valley, Batu Gajah dan Tanjung Tualang – kebanyakannya terbiar seolah-olah hidup segan mati tak mahu,” ujarnya dipetik dari Facebook.

Beliau berkata, tanah seluas hampir 60,000 hektar yang telah diteroka secara haram seperti dimaklumkan Menteri Besar baru-baru ini perlu diambil semula dan diberi kepada pemaju baru yang berlesen.

Tegas Hafizzuddin, tindakan itu perlu dilakukan berbanding terus menarah hutan sensitif atas alasan tanah tidak mencukupi.

“Kawasan tanah tinggi Kinta ini jelas tidak sesuai dan bercanggah dengan Pelan Rancangan Fizikal Negara. Seharusnya kerajaan bertindak mengikut prinsip ‘rule of law’ dan mengikut semangat pembangunan lestari,” tegasnya lagi.