Malaysia Dateline

Elak cetus isu perkauman di PRN Sabah

Pemimpin parti politik diingatkan supaya tidak mencetuskan isu perkauman sehingga menakut-nakutkan rakyat ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.

Menurut Ketua Wira Parti Warisan (WARISAN) Sabah, Datuk Azis Jamman, sebaliknya pemimpin parti politik haruslah berlawan secara sihat dengan meneruskan agenda pembangunan yang telah dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, setiap kali pilihan raya telah banyak isu-isu yang tidak sepatutnya dibawa ke medan kempen sehingga menjejaskan keharmonian pelbagai kaum di Sabah.

“Lihat sahaja ketika ini apabila parti lawan sengaja memainkan isu tuntutan Filipina terhadap Sabah sekali gus cuba menjejaskan reputasi Presiden Parti WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Isu tuntutan itu sepatutnya harus ditujukan kepada bekas Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, selepas lama menjawat jawatan tersebut dan apa yang sudah beliau lakukan selama ini, ” soalnya.

Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri semasa era Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menegaskan, sebenarnya isu itu sudah lama boleh diselesaikan sekiranya dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana Menteri Luar berpeluang berbincang dengan rakan sejawatnya di Filipina untuk tidak mengulangi lagi tuntutan ke atas negeri ini.

“Saya yakin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan goyong kaki, malah terus mencari jalan supaya tuntutan itu tidak diteruskan termasuk menghantar peguam negeri bagi membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa di Sepanyol kelak.

“Ini kerana WARISAN baharu mentadbir Sabah selama dua tahun tetapi sudah mendesak Kerajaan Filipina supaya tidak lagi menuntut Sabah sebagai wilayah mereka,” jelasnya lagi.

Tambahnya, pihak parti lawan bukan setakat cuba menimbulkan isu perkauman bahkan turut menyerang peribadi pemimpin WARISAN dan sahabat parti lain yang berbaur fitnah.

“Mereka ini sengaja menjaja cerita berkaitan skandal pemimpin WARISAN termasuk saya dengan harapan rakyat mula menanam kebencian kepada parti dan pemimpin WARISAN,” ujarnya.

Justeru, Azis menyeru kepada seluruh pengundi dan rakyat di negeri ini supaya bijak membuat pilihan pada PRN Negeri Sabah pada 26 September nanti.