Malaysia Dateline

Elak guna kit ujian pantas (RTK) untuk kesan Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan kit ujian pantas untuk mengesan sama ada mereka dijangkiti virus Covid-19 atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media petang tadi berkata, kit berkenaan yang dijual di pasaran tidak disarankan untuk digunakan, sebaliknya orang ramai perlu mendapatkan perkhidmatan profesional perubatan untuk tujuan tersebut, lapor The Malay Mail.

Kata beliau, kit berkenaan hanya dapat mengesan untuk tempoh lima hingga lapan hari selepas dijangkiti. Kit ujian pantas tidak dapat mengesan untuk tempoh sebelum itu, justeru ia tidak membantu untuk membuat pengesanan awal jangkitan Covid-19.

Jelasnya, kit ujian pantas tidak dicadangkan untuk digunakan bagi mengesan virus berkenaan.

Sebelum itu, Noor Hisham menjelaskan bahawa ujian makmal yang dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi Covid-19 adalah dengan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

Tekni berkenaan katanya, dapat mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam badan pesakit.

Mereka yang positif ujian melalui teknik rRT-PCR ini adalah mereka yang dijangkiti virus tersebut.