Malaysia Dateline

Elak harga barang melambung, kerajaan dicadang sedia subsidi ketika musim tengkujuh

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi barangan asas dan sayuran apabila tiba musim-musim yang luar jangka seperti musim tengkujuh yang boleh menyebabkan peningkatan harga barangan mentah.

Beliau berkata, tindakan proaktif perlu dilaksanakan segera dan kerajaan tidak seharusnya terus memberi alasan tentang perubahan iklim yang tidak menentu.

Justeru, subsidi barangan mentah antara cadangan jangka pendek yang digariskan supaya dapat dilaksana segera oleh kerajaan.

“Sudah jatuh ditimpa tangga, dipatuk angsa. Begitulah ibaratnya rakyat kita sekarang. Sudahlah harga barang keperluan utama naik, harga ikan melambung, menurut laporan akhbar hari ini, harga sayur pula tak terkawal.

“Kerajaan perlu laksana sistem pemantauan yang lebih berkesan supaya tindakan segera dapat dilakukan.

“Selain itu, perhebatkan kempen mengurangkan lagi kesan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang kian meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Hasbie turut menggariskan cadangan jangka panjang bagi menangani permasalahan peningkatan barangan mentah yang dilapor meningkat sehingga 200 peratus.

Antaranya, beliau mencadangkan agar kerajaan memperkenal geran penyelidikan khas bagi meningkatkan daya tahan tanaman (manipulasi genetik) dan sumber tanah yang dapat memperkaya sumber elemen makro dan mikro genetik yang tinggi untuk cuaca ekstrem.

“Selain itu, perlu juga diperkenalkan spesies tanaman baharu yang lebih berdaya tahan dan tempoh penuaian yang singkat agar dapat meningkatkan pengeluaran hasil walaupun dalam keadaan cuaca semasa,” katanya lagi.