Malaysia Dateline

Elak insiden bendera berulang: Abim seru tindakan tegas, perlu pinda undang-undang

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan meminda undang-undang yang lebih ketat berhubung isu bendera kebangsaaan Jalur Gemilang dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang, Isnin lalu.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu meminda Kanun Keseksaan bagi memuatkan kesalahan menghina bendera kebangsaan, bagi menghukum sikap biadab yang datangnya daripada pelbagai jenis peringkat kelompok.
“Penggubalan undang-undang perlu dilakukan sebagaimana Akta Lagu Kebangsaan 1968, di mana mereka yang tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.
“ABIM dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap pihak Polis Kuala Lumpur yang telah membuka kertas siasatan berhubung punca insiden tersebut.
“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 jika seseorang didapati melakukan kesalahan seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang tersebut kerana ia memberi pelbagai persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.
“ABIM juga ingin menegaskan bahawa bendera sesebuah negara mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri. Hal ini adalah selari dengan kerangka tuntutan agama, di mana unsur patriotisme seperti mempertahankan kedaulatan negara turut ditekankan dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, ABIM menegaskan bahawa pemerkasaan cinta negara perlu dipupuk dari peringkat sekolah melalui reformasi pendidikan Malaysia yang perlu ditegaskan dalam semua jenis persekolahan dalam negaea.
Katanya, reformasi yang bakal dibentangkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara itu bagi menekankan Pendidikan Karakter, Pendidikan Damai dan Pendidikan Kewarganegaraan sebagai teras melahirkan masyarakat terdidik, cinta negara dan beradab mulia.
“Sesungguhnya, cintakan negara bererti membina kesatuannya, bukan meruntuhkan keharmoniannya. Kibarkan Jalur Gemilang dan berpadulah atas nama Malaysia,” ujarnya.