Sejak semalam orang ramai dikhabarkan dengan insiden sedih apabila satu rangka manusia dijumpai dalam sebuah kereta yang tenggelam, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir 10 bulan lalu.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar pernah tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya yang gagal dihubungi selepas keluar rumah dari Johor ke Terengganu.
Seorang doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, kes kehilangan dalam tempoh agak lama ini terjadi disebabkan tiada satu orang pun yang mengetahui keberadaan mangsa.
Susulan itu, dia berkongsikan kepada orang ramai langkah terbaik bagi mengurangkan risiko seperti insiden tersebut dari berulang lagi.
Kami kongsikan penjelasan penuh Dr Kamarul yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Hari ini kita mendapat berita sedih tentang penemuan sebuah kenderaan jenis MPV yang tenggelam bersama pemandunya di dalam sebuah sungai berhampiran Kuantan, Pahang.
Pemandu di dalam kenderaan itu telah disahkan identitinya sebagai pemuda yang dilaporkan hilang sejak 10 bulan yang lalu. Pemuda berkenaan terakhir dikesan bertolak dari Johor ke Terengganu.
Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga pemandu berkenaan. Kes kehilangan individu akibat kemalangan melibatkan kemalangan umpama ini berlaku kerana ketiadaan saksi dan melibatkan kawasan yang terlindung (sungai, gaung, dsb).
Bagi mengurangkan risiko insiden seperti ini berlaku, kita boleh lalukan perkara ini, terutamanya bila memandu seorang diri untuk perjalanan jauh di waktu malam dan di kawasan yang sunyi.
Kemasikini keberadaan kita secara langsung menggunakan aplikasi WhatsApp.
Caranya:
1. Buka WhatsApp dan pilih individu yang hendak dimaklumkan. Boleh pilih individu mahupun group.
2. Di tetingkap individu/group berkenaan. Tekan butang kongsi (ikon klip kertas). Rujuk gambar ke-3.
3. Di tetingkap pilihan jenis kepilan(attachment), tekan butang lokasi (ikon pin lokasi). Rujuk gambar ke-4.
4. Di tetingkap lokasi, tekan butang kongsi lokasi live(ikon pin bergerak). Rujuk gambar ke-5.
5. Di tetingkap lokasi live, tekan tempoh yang sesuai dengan masa perjalanan. Rujuk gambar ke-6.
6. Lokasi akan dikemaskini secara live. Kemaskini boleh dihentikan setelah tiba di destinasi.
Andai kata individu atau group mendapati lokasi pemandu yang dalam perjalanan tidak berubah dalam tempoh yang diragui, segera hubungi pemandu untuk kepastian.
Andai pemandu tidak dapat dihubungi atau kemaskini terhenti tanpa sebarang makluman dari pemandu untuk masa yang lama, maka pertimbangkan untuk hubungi pihak berkuasa.
Semoga dipermudahkan perjalanan, dan dilindungi dari musibah.