Elak kaitkan agamawan dan ulama dengan isu politik

Elak kaitkan agamawan dan ulama dengan isu politik

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN)  Prof Emiritius Datuk Dr Mahmood Zohdi Ab Majid mahu golongan agamawan dan ulama diberikan peluang untuk merapatkan jurang perbezaan pandangan politik tanpa membabitkan mereka dalam isu yang dibangkitkan antara parti politik dan kerajaan.

Beliau menasihati agar pemimpin politik tidak menuduh golongan agamawan dan ulama di negara ini, lebih gemar bersikap membisu atau menutup sebelah mata dalam isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Tidak kiralah ia golongan agamawan dan  ulama dalam parti atau golongan agamawan dan ulama di luar parti, mereka ini jangan dikaitkan dalam perbalahan antara pemimpin politik dan pihak kerajaan.

“Selagi tuduhan dan andaian terhadap sesuatu isu seperti 1MDB itu masih lagi tidak jelas, adalah tidak sesuai seorang agamawan atau ulama membuat kenyataan bagi pihaknya, parti atau persatuan yang didokonginya,” ujar beliau kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta pandangan mengenai kenyataan bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa semalam,  dipetik berkata, isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dianggap sebagai ‘jenayah agama’ dikalangan golongan agamawan di negara ini dalam konteks berkerajaan.

Mahmood Zuhdi berkata, dalam al-quran umat Islam digalakkan untuk amalkan ‘tabayyun’ sebelum menyatakan sesuatu pendirian.

“Dalam quran juga mengalakkan kita melalui proses tabayyun. Kami sebenarnya tidak tahu siapa yang betul dan salah. Pihak pembangkang ada tuduhannya manakala pihak kerajan ada jawabannya pula menidakkan tuduhan.

“Sebaliknya janganlah paksa para agamawan dan ulama untuk menyatakan bla… bla… bla… sekian.

“Secara umum kenyataan yang dibuat Husam itu tidak sesuai dengan keadaan sekarang, apabila ada usaha dikalangan agamawan dan ulama cuba untuk merapatkan jurang perbezaan pandangan politik ada pula kenyataan di media yang mahu melibatkan kami dalam isu politik.

“Misalnya dia mempertikaikan sikap agamawan dan ulama dalam Pas atau secara umum agamawan di negara ini, kurang bijaklah.

“Ini kerana tidak semua ulama dan agamawan tidak memandang serius kepada kes seperti itu tetapi dalam Islam selagi sesuatu tuduhan dan andaian tidak jelas, maka kita tidak boleh membuat kenyataan untuk memihak kepada sesiapa,” ujarnya.

Justeru katanya, MDN yang mewakili golongan agamawan dan ulama yang sangat prihatin dengan perpaduan ummah rasa dukacita dengan ‘tuduh menuduh’ antara parti politik dengan pihak  kerajaan yang berlaku hari ini.

“MDN amat berhati-hati untuk membuat sebarang kenyataan di media agar ia tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti politik atau kerajaan dalam isu seperti 1MDB ini.

“Kita tidak mahu menambahkan lagi kekeruhan hubungan antara pemimpin politik dan pihak kerajaan di negara kita dengan golongan agamawan dan ulama pula.

“Saya kalau boleh nak nasihatkan kepada para pemimpin politik supaya ambil peluang bulan haram ini- kendurkan ketegangan sesama kita.

“Bagilah peluang kepada agamawan dan ulama mainkan peranan mereka membaiki hubungan itu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pgrom #TangkapMO1 yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini, ujarnya, ia satu perkembangan tidak sihat mutakhir ini.

“Ini perkembangan yang tidak sihat di negara kita perbalahan semakin hangat. Nasihat saya mereka perlu memandang belakang dan hadapan.

“Melihat kembali kepada sejarah perjuangan bersama dan masa depan generasi kita.

“Masa nak tuntut merdeka kita bersatu .Kita bersama bercakap tentang perpaduan dan pembangunan ummah tetapi hari ini kita berpecah begitu teruk.

“Ertinya kita telah menafikan sejarah perjuangan dan tidak membina kebangkitan umat untuk masa depan secara berpadu.

“Orang politik dalam negara kita banyak yang emosional jadi kurangkan emosi untuk tuduh menuduh dan serang menyerang.

“Soal nak tangkap ke… nak usir ke… itu rempah ratus emosi keegoan yang dipanggil ‘super ego’ dalam diri masing-masing  dan syaitan sudah menenggek dalam keegoan masing-masing. Mereka kenalah beristigfar banyak kali…dengan pelbagai perbalahan politik yang berlaku, kesian rakyat jadi mangsa,” ujarnya.

TAGS