Elak keliru berpanjangan, PM didesak beritahu siapa MO1

Elak keliru berpanjangan, PM didesak beritahu siapa MO1

Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan di kalangan Umno-BN dan tercetusnya mangsa seperti Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad yang dikaitkan dengan MO1, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Umno-BN perlu memberitahu Umno-BN siapa MO1 yang sebenar.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini untuk mengelak kekeliruan di kalangan Umno-BN tentang identiti ‘Malaysian Official One’ (MO1) sehinggakan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad mencetuskan kontroversi mengenai identiti MO1 kerana mengaitkannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Jika tidak boleh dinamakan, bolehlah membuat teka-teki dengan memberi bayangan rambut putihnya, bentuk rupanya, siapa isterinya dan juga hubungannya dengan Riza Aziz dan kedudukannya di 1MDB,” katanya.

Jika perkara ini dibuat katanya, sudah pasti tiada lagi ahli parlimen Umno-BN yang akan meneka seperti Nawawi yang terteka sehingga mengaitkan identiti MO1 itu kepada Agong.

“Ini sekadar cadangan, jika Nawawi enggan memohon maaf kerana silap tekaannya, Najib perlu berjiwa besar dan memohon maaf atas pihak Umno-BN kepada Agong kerana kegagalan memberi maklumat penuh kepada Nawawi.

“Saya pasti kalau Nawawi diberi maklumat yang betul, beliau tidak akan tersilap teka siapa sebenar MO1, dan Umno-BN tidak akan dimalukan lagi dengan tekaan yang jelas jauh tersasar,” katanya.

Menurutnya, ketelanjuran Nawawi ada bukti mengapa saranan Majlis Raja-Raja agar isu 1MDB perlu disiasat dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat secepat mungkin perlu dilaksanakan segera.

“PAS mengulang gesaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulamak yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan segera untuk menyiasat skandal 1MDB sebagai usaha menyelesaikan isu 1MDB dan juga membersihkan nama Agong,” katanya.

TAGS